
INDUSTRI hip hop tanah air kembali dihangat dengan kolaborasi Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik menerusi single terbaharu berjudul Kemana Ni.
Bukan sekadar gabungan unik antara hip hop dan reggae tetapi lagu edaran Sony Music Malaysia itu membawa introspektif tentang hala tuju kehidupan di tengah arus dunia moden yang semakin mencabar.
Kemana Ni bukan sekadar kolaborasi biasa namun lagu berkenaan terlahir daripada sebuah perjalanan dan nilai persahabatan yang sudah terjalin sejak tahun 2018. Sejurus melihat kejayaan single Gong Nekara pada tahun yang sama Kmy Kmo mencipta sebuah lagi karya yang menggambarkan perjalanan hidup manusia dalam mencari arah dan makna.
Luca Sickta berkata projek itu sudah lama direncanakan dan akhirnya berjaya direalisasikan setelah melalui pelbagai fasa penciptaan. Poster single Kemana Ni.
“Salammusik merupakan artis pertama yang kami dekati untuk projek ini dan individu terawal menyambut baik idea ini. “Dia menanti dengan sabar sejak 2018 dan akhirnya lagu ini dapat dikongsi dengan dunia.
“Dari sudut muzik Kemana Ni membawa satu dimensi baharu dalam industri tempatan dengan menggabungkan dua genre yang mempunyai jiwa tersendiri iaitu hip hop dan reggae.
“Sebagai produser dan komposer saya memastikan setiap elemen dalam lagu ini disusun dengan teliti. “Saya dan Kmy sudah bekerja bersama dalam banyak projek jadi momentum kami amat serasi ibarat gula dan air. “Manakala kehadiran Salammusik pula memberikan warna yang berbeza dengan keunikan gaya reggae yang sudah menjadi identitinya,” katanya.
Dalam pada itu Kmy Kmo berkata Kemana Ni merupakan sebuah lagu yang menangkap perasaan seseorang baru sahaja melangkah ke alam kedewasaan dan perlu membuat keputusan besar dalam hidup.
“Hidup sebenar bermula apabila kita melangkah keluar darizon selesa. Saat itulah kita benar-benar diuji untuk mencari arah dan membina kehidupan sendiri.
“Menariknya frasa ‘kemana ni’ yang menjadi tajuk lagu juga sangat dekat dengan masyarakat Malaysia sama ada dalam makna literal mahupun sebagai satu refleksi terhadap perjalanan kehidupan.
Sementara itu Salammusik menyatakan perjalanan penghasilan lagu Kemana Ni membawa satu pengalaman yang unik.
“Saya dihubungi oleh Luca ketika masih berada di Amsterdam. Dia berkongsi lakaran awal lagu ini dan saya terus tertarik. "Walaupun kebanyakan rakaman dan penulisan dilakukan secara jarak jauh namun semangat serta tenaga lagu ini tetap terasa kuat. “Lagu ini juga adalah peringatan bahawa kegagalan bukan pengakhiran sebaliknya sebahagian daripada proses menuju kejayaan.
“Keberanian perlu disertai dengan ilmu dan persiapan yang rapi. Kita perlu berani untuk jatuh dan bangkit semula,” tambahnya.
