Kemarau Berlarutan, Penduduk Terpaksa Ambil Air Dari Batang Pokok Pisang Untuk Diminum

Environment
5 Oct 2023 • 10:18 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Kemarau Berlarutan, Penduduk Terpaksa Ambil Air Dari Batang Pokok Pisang Untuk Diminum

Nusa Tenggara Timur, Indonesia — Susulan kesan kemarau panjang yang melanda daerah Sikka, penduduk Dusun Klotong terpaksa mengambil bekalan air daripada batang pokok pisang untuk memenuhi keperluan harian mereka, lapor Kumparan.

Difahamkan, penduduk kampung berkenaan sebelum ini bergantung sepenuhnya terhadap tadahan air hujan dalam tangki simpanan air.

Walau bagaimanapun, krisis bekalan air semakin meruncing akibat cuaca panas sehingga mereka terpaksa mengambil air daripada batang pisang untuk diminum.

image is not available
Gambar: Mario WP Sina

Salah seorang penduduk kampung tersebut, Yoseph Rizal sewaktu ditemui sedang mengorek air dalam batang pokok pisang untuk mengambil air bersih di halaman rumahnya.

Menerusi satu rakaman, Yoseph dilihat menebang pokok pisang yang berbatang besar. Kemudian, dia akan membuat lubang pada bahagian tengah batang pisang.

Selepas itu, batang pisang yang berlubang tersebut akan ditutup dan dibiarkan semalaman untuk mendapatkan air.

image is not available
Gambar: Mario WP Sina

Yoseph memberitahu, air daripada batang pisang itu akan diambil untuk dibawa pulang kepada 11 ahli keluarganya.

Untuk meminumnya, air itu akan dimasak terlebih dahulu.

“Dalam satu hari, saya terpaksa menebang tiga hingga empat pokok pisang di mana satu pokok pisang hanya mampu mengeluarkan 2 hingga 2.5 liter air.

“Krisis air ini telah dialami sejak bulan Ogos lalu,” katanya.

Yosseph yang bekerja sebagai petani mengakui mengalami kesukaran kerana pendapatannya yang terhad.

image is not available
Gambar: Mario WP Sina

Sehubungan itu, dia berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian kepada penduduk kampung itu dengan menyediakan bekalan air bersih bagi menampung keperluan harian mereka.

Sementara itu, Ketua Kampung Dusun Klotong, Hermiana Hamseh berkata sekitar 250 keluarga mengalami kesukaran untuk mengambil air bersih.

“Keadaan ini kerana bekalan air tadahan hujan di kediaman penduduk terus berkurangan, malah ada yang sudah habis digunakan.

“Penduduk yang mempunyai duit lebih boleh membeli air tangki dengan harga 300,000 rupiah (RM 90) supaya dapat digunakan untuk keperluan harian,. Manakala yang lain mengambil air batang pisang,” katanya.

Hermiana berharap kerajaan dapat membantu mengagihkan air bersih di kawasan mereka.