[KEMAS KINI] Dana 1MDB: Najib bersalah 4 tuduhan salah guna kedudukan, 21 pertuduhan penggubahan wang haram

LocalPolitics
26 Dec 2025 • 4:01 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Keputusan itu disampaikan oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi dan kini, merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, didakwa buat kali pertama pada 20 September 2018 dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian pada 28 Ogos 2019, dengan pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas semua pertuduhan, dan prosiding pembelaan berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025, melibatkan 58 hari perbicaraan dengan keterangan daripada 26 saksi.

Antara saksi utama pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding masih berlangsung ketika Hakim Collin membacakan penghakimannya berhubung 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib- 26 Disember, 2025