[Kemaskini] MOT Arah JPJ Kembalikan Urusan Pertukaran Hak Milik Kenderaan Secara Online

LocalCars
25 May 2026 • 10:19 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: [Kemaskini] MOT Arah JPJ Kembalikan Urusan Pertukaran Hak Milik Kenderaan Secara Online

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

[Kemas kini] Dalam satu perkembangan terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bersetuju untuk mengembalikan semula urusa niaga Tukar Hak Milik (THM) secara online serta-merta.

Kata Loke, sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.

Mulanya JPJ Umum Penangguhan Sementara Urusan Tukar Hak Milik

Bermula hari ini (25 Mei), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan di Facebook mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) secara dalam talian.

Penangguhan yang berkuat kuasa serta-merta itu merangkumi kesemua saluran digital termasuklah platform rakan niaga JPJ.

Saluran terlibat adalah seperti:

  • Portal awam
  • Kiosk
  • MyEG
  • eAuto Sdn Bhd

JPJ Terima Aduan Pertukaran Hak Milik Tanpa Pengetahuan Pemilik Berdaftar

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan kawalan serta-merta itu dibuat susulan pihaknya ada menerima beberapa aduan rasmi dan melalui media sosial mengenai insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilaksanakan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang membabitkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.

“Sehubungan itu, bermula hari ini (25 Mei), semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” katanya.

JPJ Jelas Ada Urus Niaga Boleh Diselesai Hari Sama, Ada Yang Ambil Selama 5 Hingga 7 Hari Bekerja

Jelas Aedy Fadly, bagi kategori persendirian individu, urus niaga boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan.

“Bagi kategori persendirian syarikat pula, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh penyerahan dokumen lengkap,” jelasnya.

Terang Aedy Fadly, bagi saluran penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja yang masih beroperasi seperti biasa.

Manakala, sistem tukar hak milik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan.

“Mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang hendak melaksanakan eSTM hendaklah mengemukakan permohonan ini di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan.

Semak & Kemas Kini Maklumat Serta Data Kenderaan Masing-Masing

Jelas Aedy Fadly, JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod sistem JPJ diperkukuh serta ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ia bagi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan jabatan berkenaan terus terpelihara.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ,” jelasnya lagi.

Pun begitu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bersetuju untuk mengembalikan semula urusa niaga Tukar Hak Milik (THM) secara online serta-merta.

Kata Loke, sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkenaan penangguhan sementara perkhidmatan dalam talian untuk urusan tukar hak milik seperti yang dilaporkan oleh media.

“JPJ telah memaklumkan kepada MOT berkenaan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ.

“Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera.

“Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak menggangu urusan harian pengguna-pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ.

“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan online untuk urusan tersebut serta merta dan sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara Tukar Nama/ Hakmilik Kenderaan Bagi Pemilik Yang Sudah Meninggal Dunia

Baca Artikel Berkaitan: Macam Mana Cara Nak Setel Saman JPJ Di Mahkamah? Ini Apa Perlu Anda Lakukan [Video]