Hari ini, beratus-ratus syarikat di seluruh dunia telah memperlihatkan mesin pelayan dan juga komputer-komputer mereka menghadapi isu BSOD ataupun Blue Screen of Death, yang memaksa penutupan sebuah komputer.
Microsoft, bersama-sama dengan syarikat keselamatan komputer CrowdStrike telah mengumumkan bahawa kemaskini terbaru pada perisian sekuriti CrowdStrike menyebabkan sistem operasi Microsoft Windows menghadapi masalah tersebut.
So guess who uses @CrowdStrike pic.twitter.com/aHeup26RPZ
Diantara isu lain yang diperlihatkan ialah terdapat komputer yang tersangkut dalam kitaran “boot loop” dimana apabila komputer cuba dimulakan semula, ia akan tersangkut dalam kitaran fungsi boot dan tidak memasuki sistem operasi Windows.
CrowdStrike mungkin bukan sebuah jenama sekuriti yang dikenali oleh pengguna biasa, akan tetapi ia digunakan oleh banyak syarikat-syarikat gergasi untuk tujuan keselamatan mesin pelayan dan pusat data mereka.
Untuk Microsoft sendiri, diantara perkhidmatan yang terkesan dengan isu ini ialah seperti Microsoft 365 dan Microsoft Azure. Syarikat-syarikat lain adalah seperti Amazon Web Services, Telstra, RyanAir, American Airlines, Delta Airlines, myob dan sebagainya.
Di Malaysia, kami diberitahu bahawa sejumlah komputer di Subang Jaya Medical Centre menghadapi isu BSOD ini, dan kami akan cuba untuk mengemaskini senarai ini dengan syarikat-syarikat lain sekiranya kami menerima maklumat mengenainya.
Buat masa ini, pihak CrowdStrike telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka sedar tentang isu yang sedang berlaku ini, dan memberi nasihat untuk tidak cuba memperbaiki isu tersebut buat masa sekarang,
Akan tetapi, untuk mereka yang mahu membuang fail kemaskini tersebut, langkah yang disyorkan ialah untuk:
- Memasuki Windows Safe Mode ataupun Windows Recovery Environment
- Masuk ke direktori C:\Windows\System32\drivers\CrowdStrike
- Buang fail C-00000291*.sys
- Mulakan semula komputer secara normal

