Kemasukan Paramount positif bagi Eco World International, lebih banyak projek baharu dijangka - Maybank IB

Business & Finance
14 May 2024 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kemasukan Paramount positif bagi Eco World International, lebih banyak projek baharu dijangka - Maybank IB

herman

14/05/2024 - 09:40

KUALA LUMPUR 14 Mei - Pengambilalihan kepentingan 21.5% Eco World International Bhd (EWI) oleh Paramount Corporation Bhd dilihat sebagai satu perkembangan terkini yang positif, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Kata firma penyelidikan itu, kemasukan Paramount boleh membawa kepada pelancaran yang lebih aktif dalam unit baharu oleh EWI mulai sekarang kerana syarikat itu pro-pertumbuhan dan positif dalam pasaran hartanah United Kingdom (UK).

Katanya, ini berbeza dengan pemegang saham utama terdahulu iaitu Guocoland yang mempunyai gaya pengurusan konservatif sedangkan EcoWorld lebih agresif dalam pelancaran projek atau pembelian tanah.

"Masuknya Paramount yang kelihatan bersifat propertumbuhan dan positif terhadap pasaran hartanah UK, boleh membawa kepada lebih banyak pelancaran aktif unit baharu oleh EWI dari sekarang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kata Maybank IB, selain perbezaan gaya pengurusan dua pemegang saham utama sebelum ini, keadaan pasaran hartanah di UK juga mencabar dalam beberapa tahun terakhir.

Dalam pada itu, jelas firma penyelidikan itu, EWI diunjur kekal dalam kerugian dalam jangka sederhana.

"Sebarang sumbangan pendapatan hanya akan datang dalam FY27-28 walaupun terdapat pelancaran baru dalam FY25.

"Ini kerana keuntungan hanya akan dikenal pasti setelah penyerahan unit. Oleh itu, EWI akan kekal dalam kerugian dalam jangka sederhana," jelasnya.

Sementara itu, katanya, EWI tetap komited untuk pembayaran dividen sebanyak RM504 juta (21 sen/saham) antara FY24 dan FY25 walaupun terdapat perubahan dalam struktur pemilikan saham.

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan dan harga sasaran (TP) 29 sen sesaham buat masa ini," ujarnya yang mengekalkan saranan Pegang. - DagangNews.com