Kematian 3 anak, cucu tidak lemahkan Ismail Haniyeh

11 Apr 2024 • 11:35 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Serangan yang mengorbankan tiga anak lelaki dan empat cucu pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh ketika melawat saudara mereka pada Aidilfitri, tidak akan mengubah tuntutan gencatan senjata kekal.

“Semua orang dan keluarga Gaza membayar dengan harga yang mahal iaitu darah, dan saya salah seorang daripada mereka.

“Tuntutan kami adalah jelas dan khusus. Musuh sedang berkhayal jika mereka berfikir dengan menyasarkan anak-anak saya, ketika kemuncak rundingan dan sebelum gerakan ini memberikan respons, akan mendorong Hamas untuk mengubah kedudukan," kata Ismail.

Bercakap kepada Al Jazeera pada Rabu, Ismail, 61, berkata, selain gesaan gencatan senjata, tuntutan dikembalikan hak penduduk Palestin juga akan diteruskan.

Menurutnya, tiga anaknya iaitu Hazem, Amir dan Mohammed serta cucunya itu terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza, ketika mereka melawat kem pelarian Shati, dengan kereta.

image is not available
Tiga anak Ismail Haniyeh iaitu Hazem, Amir dan Mohammed yang menjadi mangsa korban serangan udara Israel di Gaza. - Gambar media sosial, 11 April, 2024

Seramai 60 saudaranya juga telah terkorban dalam masa enam bulan perang Israel -Palestin, termasuk 14 yang maut daripada serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Gaza pada Oktober lalu.

Ismail berkata demikian dari Doha. Beliau dilaporkan mempunyai 13 anak lelaki dan perempuan.

Dalam pada itu anak sulung Ismail, mengesahkan kematian tiga adiknya meneruri hantaran di Facebook.

“Alhamdulilah kepada Allah kerana mengurniakan syahid kepada Hazem, Amir dan Mohammad serta anak-anak mereka,’’ kata Abdel-Salam Haniyeh, lapor Reuters. - 11 April, 2024