Kematian Calon Padang Serai: SPR Adakan Mesyuarat Khas Jumaat Ini

Politics
16 Nov 2022 • 7:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Balu calon PH bagi Parlimen Padang Serai, N Usha tidak dapat menahan sebak semasa memberi penghormatan terakhir kepada suaminya di kediamannya di Taman Cekur Manis hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh penting untuk urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk Parlimen Padang Serai.

Ia diadakan susulan kematian calon kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH), Karupaiya Mutusami hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

“SPR mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karupaiya Mutusami calon PH bagi kerusi Parlimen P.017 Padang Serai yang meninggal dunia hari ini. Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang tersayang.

“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan, menyatakan fakta berkaitan kematian calon di atas,” katanya.

Getaran hari ini melaporkan, kematian mendiang tiga hari menjelang pengundian PRU-15 itu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Karupaiya menang dengan majoriti 8,813 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Leong Yong Kong dan Muhamad Sobri Osman (PAS).

Bagi PRU-15, beliau berdepan lima calon lain, iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran, Hamzah Abd Rahman (Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK (Bebas). – Getaran, 16 November 2022

View Original Article