Kematian kanak-kanak autisme di pangsapuri tidak libat unsur jenayah - Polis

25 Jul 2026 • 7:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kematian kanak-kanak autisme di pangsapuri tidak libat unsur jenayah - Polis
Lokasi kejadian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 13 Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam di sini tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

​Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, Nur Muazzah Aisyah Mubi, 7, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di tingkat enam ruang parkir bangunan berkenaan.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima maklumat awal mengenai insiden berkenaan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang individu jam 7.50 pagi.

​"Pemeriksaan anggota polis di lokasi kejadian mendapati mangsa telah terjatuh dari tingkat 13 ke tingkat enam ruang parkir kereta pangsapuri berkenaan.

​"Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa," katanya dalam kenyataan disini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Azli berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya menyewa rumah inap di pangsapuri tersebut sejak Jumaat bagi menghadiri seminar kerja di Dewan Yayasan Pembangunan Usahawan Kuala Terengganu.

​Beliau berkata, ibu mangsa memaklumkan bahawa sekitar jam 12.30 tengah malam Sabtu, mangsa ada membuka pintu tingkap inap desa berkenaan sebelum disedari oleh ibunya.

​"Bimbang dengan keselamatan mangsa, ibunya mengambil langkah mengikat tangan mangsa ke tangannya sendiri supaya tidak bangun dan membuka tingkap lagi sewaktu tidur.

​"Pada jam 6 pagi, ibunya bangun dan mendapati mangsa masih tidur di katil sebelum ibunya ke bilik mandi.

"Selepas selesai mandi, mangsa kelihatan masih tidur dan ibunya keluar ke ruang tamu untuk bersiap serta berkemas pakaian," katanya.

​Bagaimanapun, katanya, seorang lelaki mengetuk pintu rumah inap berkenaan bertanyakan sama ada pasangan itu mempunyai anak perempuan kerana terdapat seorang kanak-kanak perempuan di ruang parkir bangunan.

​"Ibu dan ayah mangsa terus bergegas ke ruang parkir tingkat enam dan mengesahkan bahawa mangsa merupakan anak ketiga mereka," katanya.

​Azli menambah, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSNZ pada jam 2.30 petang mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kesan hentakan.

​Menurutnya, hasil siasatan oleh pegawai penyiasat dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved