‘Kematian ketara’, kompleks beli-belah runtuh akibat gempa bumi

28 Jul 2026 • 9:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kematian ketara’, kompleks beli-belah runtuh akibat gempa bumi

TOKYO – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 menggegarkan wilayah Kumamoto di selatan Jepun hari ini, menyebabkan bekalan elektrik ke beribu-ribu kediaman terputus, jalan raya rosak teruk, manakala sejumlah mangsa terperangkap dan ada yang dilaporkan terkorban di dalam sebuah pusat beli-belah yang runtuh sebahagiannya, lapor saluran berita CNA.

Di bandar Kashima, tingkat dua sebuah kompleks beli-belah runtuh, menyebabkan ramai orang terperangkap di dalamnya, kata jabatan bomba dalam satu kenyataan.

Satu bahagian pusat beli-belah itu yang menempatkan kira-kira 200 kedai, kelihatan ranap terkopak, mendedahkan tiang-tiang keluli dan menyebarkan runtuhan di kawasan tempat letak kereta.

Beberapa ambulans dan jentera bomba berada di luar kawasan kejadian semasa pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa terselamat.

Syarikat penyiaran TBS melaporkan, ‘bilangan ketara’ bagi mangsa yang terkorban ditemukan di pusat beli-belah itu, bagaimanapun pihak polis memberitahu AFP bahawa mereka belum dapat mengesahkannya.

Fuji TV melaporkan beberapa kematian telah disahkan di cawangan Aeon Mall di wilayah Kumamoto tersebut.

Penduduk tempatan, Kazuya Tsurunaga memberitahu TBS bahawa dia mendengar bunyi letupan semasa sedang membersihkan pinggan mangkuk yang pecah akibat gempa bumi di sebuah pub, kira-kira 300 meter dari Aeon Mall tersebut.

“Impaknya sangat besar,” katanya.

“Kepulan asap tebal membumbung tinggi. Kawasan di sekeliling kami berada dalam keadaan seolah-olah dihujani abu gunung berapi.”

Kira-kira 300,000 orang diarahkan untuk berpindah ke pusat-pusat pemindahan, manakala beratus-ratus anggota tentera telah digerakkan bagi membantu operasi menyelamat.

Beberapa orang lagi dilaporkan masih hilang selepas sebuah cerobong asap runtuh di kilang Nippon Paper Industries, demikian menurut stesen penyiaran NHK. – AGENSI

The post ‘Kematian ketara’, kompleks beli-belah runtuh akibat gempa bumi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved