
Oleh Adam Taufiq Suharto
Ilustrasi Muizzah
‘air di atas mendidih keras.
bumi di bawah menolak ke atas.
mati aku, kekasihku, mati aku!’
- ‘Hanyut Aku’, Amir Hamzah
Ada apa dengan kematian? Penamat hayat? Atau permulaan sesuatu? Melihat filem-filem Rahim Razali, persoalan tentang kedua-duanya dapat dikesan bermain-main dan berlegar-legar serta membentuk kepengarangannya. Selain orang kaya baru, hubungan kampung-bandar dan pembalasan dendam, kematian adalah salah satu leitmotif dalam filem-filem sutradara ini. Ada kematian yang menjadi titik mula cerita, ada kematian sebagai arah tuju, ada juga kematian sebagai ketegangan dalaman-pemberontakan.
Kematian Haji Shahban (lakonan Mustapha Maarof) dalam Matinya Seorang Patriot (1984) misalnya telah membarakan api kecil dalam diri anak-anak lelakinya yang kemudian menjadi marak. Dendam dan amuk mengheret mereka kepada pertumpahan darah. Mujurlah, api dendam itu diredakan oleh dingin cinta Yohanis (lakonan Noorkumalasari) membuatkan Saiful (lakonan Eman Manan) mula sedar yang hendak dibunuhnya adalah orang tak berdosa. Seperti tajuknya, kematian menjadi pengulangan motif dalam filem ini yang dimulakan dengan babak upacara pengebumian sang patriot, Haji Shahban, dan kita dipaparkan dengan siri pembunuhan-kematian sepanjang filem tersebut.
Matinya Seorang Patriot menunjukkan ‘kematian’ sebuah institusi keluarga. Uniknya dalam filem ini, Haji Shahban mengugut untuk memecahkan tembelang ahli lembaga pengarah Melati Holdings yang menyeleweng, tetapi Haji Shahban pula meninggal dunia dek serangan jantung akibat tembelang isterinya. Gambar-gambar telanjang wanita itu semasa bekerja dengan pegawai kolonial Inggeris kala penjajahan telah terbongkar. Haji Shahban ‘pergi’, tetapi yang masih hidup, yakni anak-anak Haji Shahban tidak dapat memaafkan ibunya, kecuali Saiful. Bagi mereka, ibu adalah salah satu punca kematian ayah mereka.
Lantaran dendam yang membara, lima beradik itu telah melupakan semua yang diperjuangkan arwah Haji Shahban iaitu perjuangan parti, Melati Holdings dan melupakan jalan lurus yang sering diperjuangkan si ayah. Mereka membalas dendam dengan membunuh. Mungkin juga inilah penyataan Rahim Razali tentang politik Malaysia pada waktu itu (malah sampai sekarang?) yakni perjuangan untuk keadilan dan jalan yang lurus dalam politik adalah mustahil dan hanya ada satu kata: amuk!
Ini juga sekali gus dipaparkan dalam babak Safuan (lakonan Zulkifli Zain) membaling sebuah fail ke arah poster slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’ yang digagaskan semasa era pemerintahan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. Protes halus dan tak bersuara itu menjadi gema besar bahawa Safuan, anak muda kepada sang patriot, sudah ‘mati rasa’ terhadap politik dan hipokrasi yang bertopengkan tatanan.
Begitu pun menghampiri penghujung filem, pertarungan Saiful dengan abangnya, Safuan, menandakan perpecahan keluarga Haji Shahban setelah kematiannya. Pertarungan antara Safuan dan Saiful (yang turut mengingatkan kita akan citra Tuah-Jebat) terhenti tatkala Safuan terpandang potret gemulah ayahandanya dan tersedarlah dia bahawa dia sudah melakukan kesilapan besar dan merobohkan institusi keluarga itu. Kematian terakhir dalam filem itu pun ‘terbatal’, apabila rancangan untuk membunuh Yohanis tidak berjaya malah diamanahkan pula Yohanis untuk menjaga Saiful sementara abang-abangnya menyerah diri kepada polis.
Pemburu (1982), menyorot kematian seorang anak dan kasih sayang seorang ayah yang tiada bertepi dan dinatijahkan melalui tindakan ‘memburu’ oleh Pemburu Khamis (lakonan Ahmad Yatim). Api dendam yang marak, menjadikan dia galak memburu bedebah-bedebah yang memperlakukan anaknya seumpama hasil ‘buruan’. Anak Khamis diperkosa dan dibunuh dengan kejam. Dikotomi ‘Pemburu-buruan’ inilah yang menjadi simbol dalam sekuens montaj di awal filem, yakni ketika Khamis dan rakan-rakan menembak rusa (mungkin), dan berjaya menembak buruan mereka, terdapat intercut anak perempuannya rebah di tangan jantan-jantan pemangsa. Begitu juga menjelang pengakhiran filem, Khamis berjaya menembak ‘buruan’-nya yakni pemerkosa dan pembunuh anaknya yang disertai jukstaposisi babak tembak-menembak di bar dan di hutan belantara.
Puteri (1987) juga mengambil semangat yang hampir mirip. Iskandar (lakonan Eman Manan) menghadapi kematian sahabatnya, menyebabkan dia ingin menuntut bela dan ini berlaku di pertengahan cerita. Kematian dalam Puteri dilihat ingin membawa kepada ‘kematian’ jurang dua darjat atau kelas sosial. Walaupun cara filem ini ditamatkan agak kurang memuaskan, pada akhirnya, Iskandar yang datang daripada golongan kelas bawahan dapat bersatu juga dengan kekasihnya, Puteri (lakonan Fauziah Ahmad Daud), gadis kelahiran kerabat diraja. Dua kelas berbeza akhirnya disatukan setelah sebuah kematian.
Kematian dalam filem Abang (1981) pula diambil dari sudut berbeza dengan kematian yang berlaku di penghujung kisah. Si Abang yang bernama Fuad (lakonan Rahim Razali) rupa-rupanya sedang meniti hari-hari terakhir kehidupan. Dia seolah-olah seperti si pesalah dalam sebuah penjara dan sedang berusaha keras melunaskan hutang maaf dan dosa silam sebelum akhirnya bertemu sang algojo.
Namun, di sebalik kematian yang zahir divisualkan dalam filem-filem yang dinyatakan, ada ‘kematian-kematian tersirat’. Misalnya, kematian Abang adalah ‘kematian’ seorang lelaki yang bertanggungjawab, datang daripada masyarakat kelas menengah dan boleh diharapkan untuk mengubah dunia korporat Melayu-‘harapan Melayu Baru’ yang sebelumnya telah tenggelam dalam lumpur korupsi, tamak haloba dan bermacam-macam lagi dajalnya. Kematian Fuad, adalah kematian seorang ahli korporat yang sudah bertaubat-kembali berpegang dengan prinsip.
Walaupun sepanjang filem ini kita lihat Fuad telah berjaya mengubah satu persatu ahli keluarganya menjadi lebih baik (secara moralnya), tetapi tanpa Fuad, keluarga mereka mungkin kembali ke lembah kehinaan. Bak kata Faizal (lakonan Ahmad Yatim), Abang yang membawa diri sepuluh tahun ke tanah Inggeris itu menyebabkan keluarga mereka seperti ‘kapal yang kehilangan nakhoda’ dan ‘terkapai-kapai’.,
Meski filem ini mengkritik kelas Melayu Baru menerusi kebobrokan moral setiap karakternya, filem ini masih boleh dilihat sebagai usaha menyucikan (sanitising) kelas Melayu Baru menerusi karakter Abang, yang berusaha memulihkan moraliti kelas menengah tanpa melakukan apa-apa revolusi yang boleh meranapkan kelas tersebut. Apatah lagi, dalam keseluruhan filem, kritikannya menyentuh masalah individu bukan masalah kelas atau ideologi.
Hal ‘tersirat’ dalam Pemburu agak berbeza berbanding Abang dan Matinya Seorang Patriot. Anak Khamis, setelah menuntut di universiti di Kuala Lumpur, sudah mula menjauhkan diri daripadanya dan kampung halaman. Seperti kata pemburu Khamis, di kampung tiada kemeriahan, tiada kelab-kelab malam. Yang ada hanyalah hutan, binatang, unggas dan serangga. Keinginan Khamis yang kental untuk memburu pemerkosa dan pembunuh anak gadisnya itu sebenarnya satu alasan bagi menghilangkan rasa bersalah kerana dia tidak melakukan sesuatu ketika anaknya sudah tidak lagi mengingati kampung halaman dan melupakan dia sebagai bapa. Padahal sewaktu kecil, dia dan anaknya begitu mesra-begitu akrab.
Nora sebenarnya sudah lama ‘mati’ apabila tidak lagi mahu pulang ke kampung halaman, tidak mahu pulang ke pangkuan bapanya, dan kematian itu adalah satu batu asas untuk Khamis keluar, dan sebenarnya ‘membalas dendam kepada dirinya sendiri’. Pemburu diakhiri dengan kematian Pemburu Khamis yang mati ditembak polis. Namun sebelum itu, dia berjaya melunaskan dendamnya terhadap pemerkosa dan pembunuh anaknya di sebuah bar. Maka, filem ini bermula dengan kematian anaknya sebagai mangsa dan diakhiri dengan pembunuhan pemerkosa dan pembunuh-pembunuh anaknya-buruannya. Kematian Khamis juga penting kerana hanya dengan mati sahajalah dia mungkin dapat bertemu semula dengan gemulah anaknya-suatu permulaan yang baharu di negeri abadi.
Kematian mungkin dilihat sebagai sesuatu yang menyeramkan-horror, dan menggerunkan bagi sebahagian besar manusia. Namun, hal yang menjadikannya benar-benar seram bukanlah soal nasib si mati di alam sana-itu bukan lagi urusan hidup. Perkara yang lebih menyeramkan adalah mereka yang masih hidup - mereka yang dikejar bayang-bayang masa silam sendiri, dihantui dosa dan menanggung penyesalan yang belum terampun. Ibarat keluarga Fuad Din pada suatu malam, berdebar-debar dan resah menanti si Abang yang akan pulang dan mungkin akan mengganggu ‘kestabilan’ keluarga itu membawa kepada tagline daripada filem Abang yang cukup melekat dalam ingatan: ‘Apakah dia jembalang, atau hantu, atau syaitan, atau…?’ Atau, dia adalah masa silammu. Masa silam yang tidak pernah benar-benar mati; yang terus menjelma sebagai igauan.



