KES kematian tragis Nurfisya menjadi lebih sukar untuk difahami apabila didedahkan bahawa mangsa dan salah seorang suspek hanya saling mengenali kira-kira setahun sebelum kejadian.
Tempoh yang relatif singkat itu menimbulkan persoalan besar: bagaimana satu hubungan yang baru terbina boleh bertukar menjadi tragedi yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan?
Dalam kebanyakan hubungan, setahun adalah fasa awal iaitu tempoh untuk mengenali hati budi, memahami latar belakang dan membina kepercayaan secara perlahan.
Ia sepatutnya menjadi ruang untuk melihat keserasian, bukannya ruang dipenuhi konflik yang berbahaya. Namun, kes ini menunjukkan realiti hubungan manusia tidak selalu mengikut jangkaan.
Dalam sesetengah keadaan, hubungan singkat boleh berkembang dengan intensiti emosi sangat tinggi terutama dalam kalangan remaja yang masih mencari kestabilan diri.
Kemungkinan besar hubungan ini dibina atas keterikatan emosi cepat dan mendalam, tetapi tanpa asas kematangan kukuh. Apabila perasaan seperti sayang, cemburu dan kebergantungan bercampur tanpa kawalan, ia boleh mencipta tekanan tidak sihat.
Dalam situasi tertentu, perasaan memiliki boleh berubah menjadi keinginan mengawal dan apabila harapan tidak dipenuhi, kekecewaan itu boleh bertukar jadi kemarahan melampau.
Apa yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa tempoh setahun mungkin tidak cukup untuk seseorang benar-benar mengenali sisi sebenar individu lain.
Kes ini turut membuka perbincangan tentang betapa kurangnya pendedahan kepada konsep hubungan sihat dalam kalangan remaja.
Ramai membesar dengan gambaran romantik yang tidak realistik dipengaruhi media sosial, drama atau tekanan rakan sebaya tanpa memahami sempadan, hormat dan komunikasi yang sihat.
Tanpa panduan ini, mereka lebih cenderung terjebak dalam hubungan tidak seimbang atau toksik tanpa menyedarinya.
Lebih menyayat hati, hubungan yang mungkin pada awalnya memberi kebahagiaan dan rasa dihargai akhirnya menjadi punca kepada kehilangan nyawa. Ia mengubah sesuatu yang sepatutnya indah menjadi satu mimpi ngeri yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.
Mereka bukan sahaja kehilangan insan tersayang, tetapi juga terpaksa menerima hakikat bahawa tragedi ini berpunca daripada seseorang yang pernah dikenali.
Dalam masa yang sama, kes ini mengingatkan kita bahawa banyak konflik dalam hubungan berlaku secara senyap. Di mata orang luar, semuanya mungkin kelihatan normal dan tiada siapa nampak pertengkaran kecil, tekanan emosi atau ketakutan dipendam.
Ini menjadikan intervensi awal sukar dilakukan kerana tiada siapa benar-benar menyedari apa yang sedang berlaku di sebalik hubungan tersebut.
Akhirnya, kes Nurfisya menjadi satu peringatan yang sangat kuat bahawa tempoh mengenali seseorang bukanlah ukuran keselamatan atau kepercayaan.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana hubungan itu dibina dengan hormat, empati dan kestabilan emosi. Ia juga menekankan kepentingan pendidikan tentang hubungan sihat, bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam keluarga dan masyarakat.
Tragedi ini bukan sekadar kisah jenayah, tetapi satu cermin kepada kelemahan kita dalam memahami emosi, hubungan dan tanda-tanda bahaya.
Dalam mengenang Nurfisya, mungkin yang paling penting adalah memastikan kesedihan ini membawa kepada kesedaran bahawa setiap hubungan perlu dipandu dengan kematangan dan setiap individu perlu dilindungi dengan lebih baik daripada risiko tidak disedari.
*Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian

