
TAIPING - Sifat penyayang dan keprihatinan seorang pakar kanak-kanak Hospital Taiping, Dr Thillak Raman, 38, terus menjadi ingatan dan sebutan keluarga pesakit yang pernah dirawat beliau.
Dr Thillak maut dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pagi tadi.
Berita kematian mendiang bukan sahaja mengejutkan warga hospital, malah turut meraih perhatian ibu bapa dan bekas pesakitnya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Public Health Malaysia menyifatkan pemergian doktor berkenaan sebagai satu kehilangan besar, terutama kepada keluarga yang anak-anak mereka pernah dirawat mendiang.
“Beliau meninggalkan rumah pagi ini untuk ke tempat kerja, namun tidak akan pulang lagi ke pangkuan keluarganya,” menurut perkongsian itu.
Pasukan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping dilaporkan telah berusaha memberi rawatan kecemasan bagi menyelamatkan nyawanya, namun tidak berjaya.
Dalam perkongsian sama, beberapa ibu bapa turut menceritakan pengalaman mereka bersama mendiang, yang disifatkan bukan sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai doktor, malah sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap pesakit.
Seorang ibu berkongsi bagaimana Dr Thillak tidak pernah mengabaikan anaknya sepanjang mendapatkan rawatan, malah kerap datang menjenguk ketika kanak-kanak itu dirawat di hospital, dari usia tiga hingga lima tahun.
Bagi rakan sekerja pula, mendiang merupakan antara pakar kanak-kanak yang cukup disegani di hospital berkenaan.
Beliau turut dikenali sebagai seorang doktor yang berdedikasi dan mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam bidang kepakaran perubatan.
Penghargaan terhadap jasa mendiang turut dikongsi beberapa ibu bapa yang mengakui beliau memainkan peranan penting ketika anak-anak mereka berdepan masalah kesihatan.
Pengguna media sosial, Ashiv Shun, misalnya, meluahkan rasa terhutang budi apabila mengenangkan Dr Thillak yang pernah menyelamatkan nyawa bayi kembarnya ketika kedua-duanya mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Seorang lagi pengguna, Izz Razaly, pula mengingati mendiang sebagai doktor yang ramah dan mudah didekati ketika merawat anaknya di Hospital Kuala Kangsar sekitar 2015 hingga 2016.
Noor Syawalriah Ahmad Nazri turut berkongsi kenangan mengenai kelembutan Dr Thillak ketika berurusan dengan ibu bapa pesakit.
Menurutnya, doktor berkenaan pernah merawat kedua-dua anaknya dan sentiasa memberikan layanan yang menenangkan sepanjang tempoh rawatan.
Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, turut menyampaikan ucapan takziah dengan mengingatkan bahawa pemergian seorang doktor membawa makna kehilangan yang jauh lebih besar kepada masyarakat.
“Kematian seorang doktor bukan sekadar kehilangan seorang individu, tetapi kehilangan sepasang tangan yang telah menyelamatkan banyak nyawa.
“Semoga keluarganya terus diberikan kekuatan dan segala kebaikan yang pernah dilakukannya tidak dilupakan,” tulis beliau.
Segala perkongsian dan ucapan takziah itu memperlihatkan kesan mendalam yang ditinggalkan mendiang dalam kehidupan keluarga pesakitnya.
Walaupun pemergiannya meninggalkan kesedihan buat insan terdekat, jasa serta keprihatinan yang dicurahkan sepanjang merawat anak-anak mereka akan terus dikenang. - Getaran, 24 November 2026
