Kematian Pelajar KV Lahad Datu: Reman 13 Remaja Lelaki Disambung

29 Mar 2024 • 4:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
13 remaja yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki kolej vokasional dibawa ke Mahkamah Majistret. - gambar BERNAMA

LAHAD DATU - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan tempoh tahanan reman 13 remaja lelaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki kolej vokasional disambung hingga 4 April ini.

Majistret Nur Asyraf Zolhani membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes ASP Suddin Tjinke agar tempoh reman dilanjutkan bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diteruskan terhadap kesemua pelajar berusia 16 hingga 19 tahun itu. 

Mereka ditahan pada 22 Mac lepas selepas Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam pada beberapa bahagian badan di atas lantai bilik asrama di kolej vokasional di sini.

Kesemua remaja itu kemudiannya ditahan reman enam hari bermula 23 Mac.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad dilaporkan berkata siasatan polis mendapati isu kehilangan wang dua pelajar, masing-masing berjumlah RM50 dan RM35, menjadi punca perselisihan faham sehingga mengakibatkan kematian mangsa yang dituduh mencuri. - BERNAMA