Kematian pelatih Palapes: MB Selangor tuntut siasatan adil, bebas

LocalPolitics
13 Aug 2025 • 10:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian mengenai kematian pelatih Palapes UTM, Syamsul Haris.

KUALA SELANGOR – Siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, perlu dijalankan secara telus serta bebas daripada sebarang unsur yang meragukan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden itu dan akan memastikan segala proses siasatan dilakukan dengan adil demi memberi keadilan kepada semua pihak.

Menurut Amirudin, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz, selain bertemu beberapa pihak berkaitan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai perkara itu.

“Semalam saya juga bertemu dengan beberapa pihak dan kita berharap siasatan dijalankan secara telus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di Selangor Technical Development Centre (STDC), Kuala Selangor pada Selasa.

Mengulas mengenai perancangan menziarahi keluarga arwah, Amirudin berkata, beliau akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

“Mungkin dalam satu atau dua hari ini kerana saya sedang mencari masa paling sesuai (untuk menziarahi keluarga).

“Datuk Johan sudah hadir semalam, manakala Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zamri Abdul Kadir turut bertemu dengan keluarga terbabit,” tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan pembelaan terbaik diberikan kepada keluarga arwah.

“Saya juga telah sampaikan ucapan takziah kepada mereka (waris Allahyarham Syamsul Haris),” jelas beliau.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris menuntut kubur anaknya digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved