Kematian Presiden, Menteri Luar Iran: Anwar, Mohamad Zahir Perasaan Duka

20 May 2024 • 5:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri (kiri) pada pertemuan bersama Allahyarham Ebrahim Raisi - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan beberapa pemimpin kanan republik itu termasuk Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian dalam tragedi helikopter terhempas sememangnya amat mengejutkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook tidak ketinggalan menzahirkan rasa duka atas nahas tersebut.

Menurut beliau, pemergian dua figura hebat Iran dengan cara yang cukup menyedihkan itu adalah kehilangan amat besar buat Iran.

“Terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian. 

“Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam, dan pasukan penyelamat telah mengumumkan bahawa Presiden Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan delegasi ditemui maut dalam nahas tersebut,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, beliau sempat bertemu Allahyarham Raisi di New York, Amerika Syarikat tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara. 

“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat. 

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” katanya.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Anwar memberitahu, Malaysia turut  berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran. 

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak ketinggalan berkongsi rasa duka atas pemergian rakan sejawatnya.

“Berdukacita mendapat khabar pemergian Seyyed Ebrahim Raisi, Presiden Republik Islam Iran dan Dr Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran bersama penumpang lain dalam nahas helikopter yang terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

“Kali terakhir bertemu rakan sejawat Dr. Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran semasa United Nations Security Council (UNSC) Ministerial-Level Open Debate di Amerika Syarikat Januari lalu dan perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu,” katanya.

image is not available
Mohamad (kiri) ketika bertemu Allahyarham Hossein Amir Abdollahian - Gambar Facebook

Mohamad memberitahu, Allahyarham Hossein begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran menerusi pelbagai bidang yang memberi mantaat kepada kedua negara.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran.

“Doa saya agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” katanya. - Getaran, 20 Mei 2024