
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap yang hidup pasti mati, cuma cara dan waktunya sahaja yang tidak diketahui. Namun sebagai seorang muslim, kita pasti mengharapkan kematian husnul khatimah, pengakhiran dan pemergian yang dalam keadaan baik dan dimuliakan Allah.
Baru-baru ini tular di media sosial kisah seorang bilal, Ustaz Ahmad Haziq Jailani yang dilaporkan meninggal dunia usai melaungkan azan maghrib di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang pada Ahad, 14 Jun.
Arwah Ahmad Haziq Hailani sangat aktif imarah aktiviti masjid & program kemasyarakatan
Menurut seorang pengguna Facebook, Hubbun Nabiyy, arwah Ahmad Haziq yang berusia 33 tahun bukan sahaja istiqamah mengimarahkan masjid sebagai bilal kedua, malah sangat aktif bersama program-program pemuda serta sentiasa hadir membantu dalam pelbagai tugasan kebajikan dan kemasyarakatan.
“Lebih menyentuh hati, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sejurus selesai melaungkan azan Maghrib. Satu pemergian yang mengundang rasa hiba, namun pada masa yang sama menimbulkan rasa cemburu dalam hati ramai yang mengenalinya. Seolah-olah Allah SWT menjemput pulang hamba-Nya ketika sedang berkhidmat untuk agama dan rumah-Nya.”
Ayah Allahyarham Ahmad Haziq pimpin solat jenazah, ramai hadir bukti arwah dicintai masyarakat
Tambah Hubbun lagi, ramai yang hadir untuk solat jenazah arwah sehingga saf jemaah disifatkan penuh seperti solat Jumaat.
Difahamkan solat jenazah dipimpin oleh ayah arwah sendiri.
“Masih terbayang senyuman, semangat dan kesungguhannya dalam setiap gerak kerja jamaah.
“Lebih mengharukan, ayahandanya sendiri diberikan kekuatan untuk mengimamkan solat jenazah buat anak tercinta. Saat yang sangat berat untuk digambarkan dengan kata-kata. Ramai yang hadir sehingga saf-saf solat jenazah seakan suasana Solat Jumaat. Masjid dipenuhi oleh mereka yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir, menjadi bukti betapa Allahyarham dicintai masyarakat.
“Pergimu ditangisi, namun husnul khatimahmu dicemburui,” nukil sahabatnya itu lagi.
Ramak rakan luah sebak, ceritakan kebaikan arwah
Jelas pengguna Facebook itu lagi, sepanjang hari ini, pelbagai kisah kebaikan Allahyarham dikongsikan.
Ramai bercerita tentang akhlaknya yang baik, sifatnya yang ringan tulang membantu orang lain, serta komitmennya terhadap masjid dan perjuangan dakwah.

“Secara peribadi, Allahyarham sememangnya seorang yang baik dan disenangi ramai. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat warga Bandar Baru Selayang.
“Namun kita yakin, insan yang hidupnya dipenuhi dengan khidmat kepada agama tidak akan pergi begitu sahaja. Jasadnya mungkin telah tiada, tetapi amal, jasa dan kenangan baik yang ditinggalkan akan terus hidup dalam hati mereka yang mengenalinya,” kongsi beliau.
Menerusi semakan kami, Allahyarhman Ahmad Haziq juga merupakan seorang amil yang bertugas mengutip zakat fitrah. Kisah tersebut pernah dikongsikan sendiri oleh beliau beberapa bulan yang lalu.
Alunan azan merdu tular dikongsikan sahabat
Lebih memilukan apabila video alunan azan Allahyarham turut dikongsikan salah seorang kenalan sehingga membuatkan ramai sebak.
“Laungan azan sahabat kami bilal Ustaz Ahmad Haziq yang dikongsikan oleh Ustaz Zulhazwan Ismail.
“Kami (saling) mengenali dari zaman sekolah menengah. Walaupun umurnya muda setahun tetapi kami dalam satu pasukan HOKI dan KRS sekolah dahulu. Tanpa disangka, kami juga berintima’ pada jemaah yang sama. Dan beliau istiqamah hingga akhir hayat nya,” tulis Noor Jafni Noor Kamaruzaman dalam nada sebak.

