Kembali kepada Asas Perjuangan

Opinion
17 Nov 2025 • 10:30 AM MYT
Dr. Mahathir
Dr. Mahathir

Politician

Image from: Kembali kepada Asas Perjuangan
Dr Mahathir Mohd Rais

Dalam dunia demokrasi moden, suara yang berbeza bukanlah ancaman, bahkan ia lambang kematangan. Namun apabila perbezaan itu mula berbaur keraguan dan nada menjadi terlalu lantang tanpa kesatuan matlamat, ruang yang terbuka luas untuk memperkukuh parti dan institusi boleh berubah menjadi medan perpecahan.

Parti Keadilan Rakyat bukan gerakan politik yang asing dengan kepelbagaian pandangan. Ia lahir daripada semangat reformasi yang meraikan idealisme dan perbezaan. Tetapi dalam saat genting, ketika kerajaan memerlukan kestabilan dalaman, keutuhan barisan lebih utama daripada kelebihan individu.

YB Datuk Seri Rafizi Ramli ialah antara sosok penting yang membentuk halatuju dan strategi parti. Beliau mewakili arus reformis yang kritikal tetapi konstruktif, dan memiliki keupayaan intelektual yang diyakini rakyat. Pandangannya berkenaan perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat, termasuk gesaan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, mencerminkan keberanian politik yang sukar ditemui dalam kalangan ahli politik biasa.

Namun apabila kritikan itu lahir daripada ahli parlimen kerajaan sendiri, ia mengundang dilema yang sukar dielak. Soalnya, bagaimana mempertahankan idealisme tanpa menjejaskan solidariti? Perbezaan pendapat tidak pernah menjadi kesalahan, tetapi disiplin kolektif perlu diutamakan. Saluran dalaman wajar menjadi medan utama menyuarakan kebimbangan. Ini bukan persoalan menyekat suara, tetapi usaha menjernihkan persepsi rakyat yang kini semakin resah apabila isyarat daripada dalam tampak bercanggah.

Meskipun beliau tidak memegang jawatan tertinggi selepas pemilihan parti baru-baru ini, penghormatan dari ahli parti terhadap peranannya tidak pernah pudar. Malah pengalaman dan sumbangannya terus disegani. Strategi masa hadapan memerlukan bukan hanya wajah yang dikenali, tetapi pemikiran matang yang bersedia menghadapi realiti. Rafizi memenuhi kedua-dua kriteria itu.

Kini yang lebih utama ialah penyatuan. Masa telah tiba untuk mengetepikan perbezaan kecil demi kesinambungan perjuangan. Kita tidak boleh mengulangi sejarah apabila percakaran dalaman membuka ruang kepada pihak yang tidak pernah mengutamakan rakyat.

Rafizi bersama Nurul Izzah dan barisan kepimpinan utama parti merupakan paksi yang berpotensi mengangkat semula PKR ke fasa kematangan sebenar. Tetapi ini hanya dapat dicapai jika semua pihak bersedia untuk kembali bertaut dan bergerak dalam satu irama yang sama.

Perbedaan yang berlaku hari ini belum lagi sampai ke tahap membinasakan, tetapi jika terus dibiarkan, ia akan menghakis kekuatan yang dibina selama lebih dua dekad. Sebagai anggota baharu, saya menyeru kepada semangat penyatuan, bukan untuk menenggelamkan perbezaan tetapi untuk menyalurkan segala kekuatan itu ke arah yang membina dan bermanfaat. Apa yang rakyat harapkan bukanlah siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling bersedia memimpin dengan senyap dan berkhidmat sebagai satu pasukan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan sokongan padu dalam menongkah arus politik tanah air. Semua maklum bahawa PKR tidak menang sepenuhnya dalam pilihan raya lalu. Banyak kompromi terpaksa dilakukan demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat. Ia seharusnya menjadi motivasi untuk menggandakan usaha menjelang pilihan raya yang akan datang.

Sudah tiba masanya untuk mengangkat semula nilai perjuangan, memperkukuh parti dan memperkasa institusi. Kepimpinan yang bersatu bukan satu pilihan, ia satu keperluan. Demi negara, demi masa depan.

Saya mungkin masih baharu dalam perjuangan ini, tetapi aspirasi yang saya bawa mewakili bukan sahaja anggota parti, malah rakyat keseluruhannya. Mereka sudah bosan dengan konflik sesama pemimpin yang tiada berkesudahan.


Dr. Mahathir (mahathirmohdrais@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.