Kemeja Batik Hasil Kreativiti Banduan Jadi Tarikan

25 Jul 2022 • 9:53 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian produk kemeja batik hasil kreativiti banduan yang mendapat sambutan pengunjung pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan. - Gambar Bernama

Produk Mypride keluaran Penjara Pengkalan Chepa yang antaranya adalah kemeja batik hasil kreativiti banduan, mendapat sambutan daripada pengunjung serta memperoleh jualan memberangsangkan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan.

Pempamer reruai Penjara Pengkalan Chepa, Noraznin Mohd Nor berkata pihaknya memperoleh jualan hampir RM7,000 sepanjang program jelajah berkenaan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kelantan, selama tiga hari, berakhir semalam.

image is not available
Produk paling laris adalah baju batik, iaitu baju yang dihasilkan oleh banduan lelaki. - Gambar Bernama

Beliau berkata AKM Kelantan merupakan platform sesuai untuk mempromosikan produk hasil tangan serta kreativiti banduan kepada penduduk Kelantan.

“Setiap barangan yang dijual ini adalah hasil tangan penghuni Penjara Pengkalan Chepa melalui program pemulihan yang bertujuan mengasah kemahiran mereka. Bagi produk batik dan songket, ia dihasilkan oleh banduan lelaki manakala produk makanan adalah hasil banduan wanita.

“Produk paling laris adalah baju batik dan sepanjang tiga hari AKM Kelantan ini ada sahaja yang membelinya,” katanya yang juga Pegawai Vokasional dan Industri Penjara Pengkalan Chepa.

Reruai tersebut mempromosikan baju batik dengan pelbagai corak dan variasi warna daripada kain satin bermula pada harga RM60 hingga RM200, manakala produk paling mahal adalah kain songket yang berharga lebih RM2,000.

image is not available
Produk yang dihasilkan itu telah dijual pada harga berpatutan. - Gambar Bernama

Selain itu, terdapat juga baju kaftan dewasa berharga RM55 serta produk makanan seperti kek lapis dan kek mentega yang dijual pada harga RM25 sebiji.

Seorang pembeli Mypride, Nur Ain Abdul Latiff, 29, berkata beliau tertarik dengan corak kemeja batik yang dipromosikan di reruai itu malah ia juga dijual pada harga berpatutan.

“Saya beli dua kemeja batik untuk dihadiahkan kepada suami sebab corak yang mereka jual ini cantik di mata saya. Bolehlah nanti suami pakai untuk pergi majlis atau ke pejabat,” kata pekerja swasta itu. - Bernama