SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Pertikaian membabitkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) memasuki episod baharu apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mengeluarkan perintah 'ad interim' atau injunksi sementara yang menghalang Sidang Khas DKU daripada diteruskan serta menyekat sebarang usaha untuk menyingkirkan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh Raja Norazli dan DKU bagi mengekalkan status quo pentadbiran badan berkenaan sementara tindakan undang-undang yang sedang berlangsung diputuskan oleh mahkamah.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan pihak defendan, melalui perintah sementara itu, plaintif sama ada secara langsung atau menerusi wakil mereka dihalang daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.
Mahkamah turut melarang plaintif daripada menggantung, menyingkirkan, menggantikan atau mengganggu Raja Norazli dalam melaksanakan tugas dan fungsinya sebagai Setiausaha DKU.
Plaintif dalam tindakan itu ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
ARTIKEL BERKAITAN - Undang Yang Empat masyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Tunku Nadzaruddin dihalang meninggalkan hotel di Melaka
Dalam perintah yang sama, mahkamah mengarahkan supaya tiada jawatankuasa, individu atau badan lain ditubuhkan atau diberikan kuasa untuk mengambil alih fungsi serta bidang kuasa Setiausaha DKU.
Plaintif juga dilarang membuat, melaksanakan atau menguatkuasakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran, tadbir urus, prosiding dan urusan DKU termasuk mengambil langkah yang boleh mengubah kedudukan sedia ada sebelum 21 Mei lalu.
Menurut kenyataan itu, injunksi tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan isu bidang kuasa dan kebolehhakiman kes berkenaan serta sehingga sebarang perintah lanjut dikeluarkan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa kesan perintah berkenaan ialah plaintif tidak boleh menyingkirkan Raja Norazli sebagai Setiausaha DKU, menjalankan urusan badan itu atau mengeluarkan kenyataan media berkaitan DKU.
Peguam kanan, Steven Thiru yang mewakili Raja Norazli dan DKU ketika dihubungi mengesahkan keputusan tersebut.
Selain Steven, Raja Norazli dan DKU diwakili peguam, David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh.
Plaintif pula diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Datuk Rhiza Ghazi dan Asmawi Ismail, manakala defendan ketiga diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bersama Aala'uddin Baharom.
Setakat jam 6 petang Jumaat, Sinar Harian masih menunggu kenyataan daripada pihak plaintif.



