Kemelut doktor pakar

20 Jul 2024 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan.

DEWAN Rakyat telah meluluskan pindaan kepada Akta Perubatan 1971 pada Rabu lalu.

Pindaan itu dirangka sebagai jalan penyelesaian bagi isu berkaitan pendaftaran pengamal perubatan sebagai doktor pakar termasuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran pascasiswazah terpilih di luar negara.

Walaupun ia langkah penting untuk menyelesaikan kemelut Parallel Pathway pada masa sekarang, ia tidak bermaksud isu kekurangan doktor pakar dapat diselesaikan segera.

Langkah pertama bagi menangani isu Parallel Pathway ialah mengadakan mesyuarat antara anggota Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk berbincang kelayakan mana yang boleh diiktiraf di bawah Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).

Namun, antara pindaan yang diluluskan termasuk komposisi anggota dalam MMC – perwakilan dari universiti tempatan dalam MMC dikurangkan, yang bermaksud anggota baharu MMC perlu dilantik sebelum perbincangan pengiktirafan kelayakan Parallel Pathway boleh bermula.

Masalah teras dihadapi pengamal perubatan ingin menjadi doktor pakar ialah tempat terhad dalam program ijazah sarjana di universiti tempatan kerana Jabatan Perkhidmatan Awam yang memberikan biasiswa dan Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai bajet terhad.

Ia menyebabkan ramai pengamal perubatan lebih rela membelanjakan wang sendiri untuk melanjutkan latihan kepakaran di luar negara – kurikulumnya berbeza dengan program ijazah sarjana.

Oleh sebab terdapatnya program pengajian dua hala, wujudnya kemelut Parallel Pathway hari ini.

Sejak permulaan bidang perubatan, latihan seorang pengamal perubatan lebih tertumpu kepada latihan praktikal dan kesanggupan pengamal perubatan kanan mengajar ilmu serta pengalaman kepada anak murid mereka.

Hujah utama dikemukakan golongan profesional yang membantah pindaan Akta Perubatan adalah ketidakjaminan kualiti program latihan di luar negara, manakala latihan kepakaran program ijazah sarjana tempatan menempatkan pengamal perubatan di bawah kawal selia seorang pakar di hospital kerajaan selama satu hingga dua tahun.

Oleh itu, tugas kawal selia MMC terhadap kualiti pakar perubatan yang menjalani latihan Parallel Pathway amat penting dan setiap ijazah hendaklah diiktiraf mengikut kes masing-masing.

Satu lagi faktor perlu dipertimbangkan ialah kepelbagaian sub kepakaran dalam bidang perubatan.

Isu Parallel Pathway bermula dengan empat pakar kardiotoraks yang menjalani latihan Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh, salah satu Parallel Pathway yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2014.

Seterusnya, terdapat empat doktor bergraduasi dalam bidang genetik perubatan dari Universiti Sains Malaysia yang ingin didaftar sebagai pakar dalam Pendaftar Pakar Kebangsaan (NSR).

Berdasarkan sub kepakaran bidang perubatan dan dasar ditetapkan kerajaan, definisi pakar perubatan didaftar di bawah NSR patut diselaraskan oleh MMC. Isu pertama berdasarkan contoh di atas kerana pakar bedah kardiotoraks dan pakar genetik perubatan amat berbeza bidang kerja.

Yang kedua, pewartaan KKM kepada pakar perubatan. Setelah pengamal perubatan menghabiskan program latihan kepakaran, mereka perlu memohon kepada KKM untuk diwartakan sebagai pakar perubatan yang biasanya mengambil masa enam bulan.

Namun, terdapat pengamal perubatan yang menghabiskan latihan kepakaran di luar negara mendaftar NSR dan bekerja di hospital swasta sebagai doktor pakar.

Lebih-lebih lagi, NSR hanya mendaftarkan seseorang sebagai pakar perubatan setelah habis pengajian satu hingga dua tahun berdasarkan sub kepakaran.

Kewujudan dua piawaian pakar yang berbeza dalam KKM mengelirukan dan ia perlu diselaraskan.

Sehingga Malaysia mampu menambah penempatan program ijazah sarjana untuk latihan kepakaran di universiti tempatan, Parallel Pathway perlu diteruskan bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan.

Pindaan itu disambut baik dan MMC mempunyai tanggungjawab berat bagi memastikan kualiti serta kuantiti pakar perubatan di negara ini.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat