
KUALA LUMPUR - Kemenangan sebagai Ketua PKR Cabang Setiawangsa disifatkan Datuk Afdlin Shauki Aksan sebagai satu amanah yang sangat besar.
Mengulas kejayaan itu, aktor dan pengarah filem prolifik tersebut berkata, ia bukan sekadar satu kemenangan peribadi tetapi simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baharu dalam kepimpinan tempatan.
Menurut beliau, ia juga mewakili suara ramai yang mahukan politik menyentuh hati dan berupaya menyelesaikan masalah sebenar.
“Dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran, saya menerima keputusan rasmi Pemilihan Cabang PKR Setiawangsa 2025 yang menyaksikan saya diberikan mandat sebagai Ketua Cabang.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi usaha dan iltizam jentera kempen seiring semangat satu pasukan yang percaya dengan satu objektif iaitu agenda memantapkan parti Keadilan,” katanya.
Jelas Afdlin, beliau memungut 631 undi berbanding 563 undi diperoleh penyandang, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
“Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira, tetapi untuk direnung sebagai titik mula perjuangan yang lebih besar.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB (Yang Berhormat) Nik Nazmi atas segala jasa dan khidmat bakti beliau kepada Cabang Setiawangsa selama ini,” katanya.

Menyifatkan Nik Nazmi sebagai tokoh reformasi yang berwibawa dan berintegriti, Afdlin berkata, sumbangan ahli politik muda itu tidak akan dilupakan oleh warga cabang berkenaan
“Saya juga menjemput seluruh penyokong YB Nik untuk bersama-sama memperkasakan Cabang Setiawangsa.
“Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, tetapi selepas tamatnya pemilihan, yang tinggal hanyalah satu matlamat – membina kekuatan parti dan berbakti kepada ahli serta masyarakat. Cabang ini milik kita semua. Ayuh, kita buka lembaran baharu, bersatu dan bergerak ke hadapan,” tegasnya.
Menerusi hantaran sama, beliau turut menyeru semua ahli cabang untuk bersama memperkasa barisan sedia ada dan membantu Nik Nazmi melaksanakan tugasnya sebagai Ahki Parlimen Setiawangsa dengan sempurna.
“Cabang Setiawangsa akan memberikan sokongan penuh kepada segala inisiatif beliau yang seiring dengan matlamat dan perjuangan Parti Keadilan Rakyat.
“Kita bukan sahaja menyokong dari belakang, tetapi akan menjadi tulang belakang,” katanya.
Afdlin menarik perhatian, kemenangan sebagai Ketua Cabang itu turut membuktikan bahawa bahawa fitnah dan tohmahan, termasuk yang mengaitkan dirinya dengan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berasas.
“Ia nyata tidak menggugat kepercayaan ahli. Saya yakin ahli lebih bijak menilai, dan mereka memilih keikhlasan serta rekod khidmat, bukan persepsi murahan,” katanya.
Beliau memberi jaminan, segala pengalaman dimiliki dalam mengurus yayasan, kerja kemasyarakatan, pendidikan seni dan aktivis sosial akan digunakan sebaiknya untuk memperkasa cabang Setiawangsa.
“Dengan semangat "Mesra Setiawangsa", saya mahu kita menjadi contoh kepada seluruh negara – bahawa politik boleh menjadi wadah kasih sayang, perpaduan, dan solusi.
“Ini bukan akhir sebuah perjuangan. Ini permulaan kepada sebuah kebangkitan. Kita akan terus bergerak. Kita akan terus bekerja. Kita akan terus menyatu hati. Hidup Rakyat! Hidup Keadilan! Mesra Setiawangsa – Demi Masa Depan Bersama,” katanya. - Getaran, 20 April 2025

