
PUTRAJAYA: Malaysia kini melangkah ke fasa baharu dalam transformasi digitalnya dengan peluncuran rasmi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Rangka tindakan ini meletakkan Kementerian Digital sebagai kementerian peneraju yang bertanggungjawab memandu hala tuju strategik negara bagi merealisasikan agenda Ke Arah Negara AI 2030.
Sebagai pelan pelaksanaan nasional bagi tempoh 2026–2030, MD2030 menandakan peralihan drastik fokus negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Menjelang tahun 2030, MD2030 menggariskan sasaran nasional yang komprehensif merangkumi petunjuk ekonomi dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam yang holistik:
- 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
- 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital.
- Penjimatan sebanyak RM4.5 bilion bagi sektor awam hasil daripada operasi pendigitalan Kerajaan.
- 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian dari hujung ke hujung.
Menurut kenyataan akhbar Kementerian Digital, penyelarasan strategik dasar negara di bawah rangka tindakan MD2030 ini berasaskan kesinambungan dasar mapan demi memacu daya saing Malaysia di peringkat global.
“Ia berfungsi mengoperasikan keutamaan digital di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas serta menyokong penuh kerangka Ekonomi Madani.
“Selain itu, susulan semakan pertengahan penggal yang komprehensif, MD2030 bertindak menyelaraskan semula fokus strategik daripada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara bagi memastikan impak yang lebih bersasaran,” kata kenyataan itu.
Tujuh teras strategik
Bagi memastikan kelancaran agenda ini, MD2030 digerakkan melalui tujuh Teras Strategik yang diterajui secara bersama oleh pelbagai kementerian bagi mencerminkan pendekatan holistik kerajaan (Whole-of-Government):
Teras 1: Kerajaan (Ketua Kluster: Ketua Setiausaha Negara; Sekretariat: Kementerian Digital)
Memperkenal dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan kerajaan berpusatkan pengguna menerusi penubuhan GovTech Malaysia, semakan semula perundangan, serta penciptaan bersama antara kerajaan, perniagaan, dan rakyat.
Teras 2: Ekonomi (Ketua Kluster: Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri; Sekretariat: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri)
Memacu produktiviti dan pertumbuhan bagi meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk “Made by Malaysia”, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV), serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).
Teras 3: Infrastruktur (Ketua Kluster: Menteri Komunikasi; Sekretariat: Kementerian Komunikasi)
Melonjakkan ketersambungan internet yang berkualiti di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar.
Teras 4: Bakat (Ketua Kluster: Menteri Sumber Manusia; Sekretariat: Kementerian Sumber Manusia)
Memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas, dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital serantau dan global.
Teras 5: Masyarakat (Ketua Kluster: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Sekretariat: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
Mematasi penglibatan inklusif semua rakyat dalam ekosistem digital melalui penginstitusian Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar, dan penyelesaian digital berimpak sosial.
Teras 6: Kepercayaan dan Keselamatan (Ketua Kluster: Menteri Digital; Sekretariat: Kementerian Digital)
Mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026 – 2030.
Teras 7: Inovasi (Ketua Kluster: Menteri Sains, Teknologi & Inovasi; Sekretariat: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)
Memperkukuh rantaian inovasi daripada peringkat penyelidikan hingga ke pengkomersialan melalui ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, Inovasi dan Ekonomi (R, D, C, I & E) yang mantap bagi menyokong peralihan negara menjadi pencipta teknologi digital.
Komitmen Kementerian Digital
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan, pelancaran MD2030 adalah bukti jelas bahawa Malaysia kini bersedia untuk beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara pengeluar inovasi digital yang disegani.
“Sebagai kementerian peneraju, Kementerian Digital bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran ekonomi yang holistik, tetapi kami komited memastikan transformasi ini dibina di atas asas kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang utuh.
“Melalui pendekatan Whole-of-Government, kementerian akan memastikan gerak kerja agensi di bawah kementerian ini dilaksanakan secara bersepadu dan tuntas,” kata Gobind.
Tambah beliau, matlamat akhir agenda ini adalah untuk melampaui sekadar angka dan teknologi, sebaliknya membina masa depan di mana setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat secara adil dan saksama daripada limpahan ekonomi digital negara.
Bagi menggerakkan pelaksanaan bersepadu ini, Kementerian Digital akan disokong oleh lima jabatan dan agensi penggerak utama:
- Pejabat AI Kebangsaan (NAIO): Meneraju Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 dan ekosistem AI yang selamat.
- Jabatan Digital Negara / GovTech Malaysia: Memacu permodenan sistem penyampaian awam melalui MyGOV App dan Infrastruktur Digital Awam Generasi Seterusnya.
- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia: Melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital menerusi Zon Pertumbuhan AI Serantau dan pemerkasaan PMKS.
- CyberSecurity Malaysia bersama NAIO: Memastikan aspek keselamatan dan etika tata kelola AI diterapkan bagi melindungi kedaulatan data.
- MyDIGITAL Corporation & Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR): MyDIGITAL Corporation bertindak sebagai tunjang pengurusan program dan Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik untuk MD2030 bagi menyelaraskan pelaksanaan serta memantau kemajuan. Manakala MYCentre4IR (kerjasama bersama Forum Ekonomi Dunia – WEF) menerajui kluster industri menggunakan AI dan IoT, di samping menyokong bandar pintar serta pemindahan teknologi.
Impak ekosistem
Agenda Negara AI menerusi MD2030 ini berpaksikan impak nyata kepada seluruh ekosistem negara yang merangkumi tiga komponen utama:
- Rakyat: Membina kesiapsiagaan AI dan memupuk keterangkuman digital bagi meningkatkan kualiti hidup, meluaskan akses perkhidmatan, serta melahirkan bakat masa hadapan yang tangkas.
- Perniagaan: Meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat tempatan melalui inovasi termaju demi menembusi pasaran baharu dan global.
- Kerajaan: Mewujudkan tadbir urus yang kos efektif, cekap, telus, dan dipacu data untuk perkhidmatan awam digital yang lancar.
Keberhasilan agenda ini bakal membentuk acuan masa hadapan Malaysia yang berteraskan identiti Negara AI yang progresif; menyaksikan AI disepadukan dalam setiap aspek kehidupan, data menjadi aset strategik, sistem bersifat pintar dan autonomi, serta rakyat yang berkembang maju bersama teknologi.

