Kementerian Kesihatan kini menyasarkan untuk pelaksanaan transformasi kesihatan digital, dibawah strategi “satu individu satu rekod”, dalam tempoh sekitar empat ke lima tahun akan datang.
Strategi ini dijangka akan dilaksanakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik di setiap fasiliti kesihatan terlibat. Untuk menjayakan perkara ini, Bahagian Kesihatan Digital akan ditubuhkan, dengan fokus untuk merangka pelan pendigitalan kesihatan secara holistik. Dengan data yang mencukupi, ia dijangka akan dapat menawarkan kualiti perubatan lebih baik dan jitu, serta menyeluruh. Beberapa langkah juga akan diambil dalam memastikan komunikasi antara penyedia swasta dan kerajaan berjalan dengan lancar.
Buat masa ini, sekitar 20% hospital menggunakan rekod perubatan elektronik atau (EMR). Sementara perkara sama dilaksanakan pada 236 buah klinik kesihatan daripada keseluruhan 3876 klinik.


