Kementerian Komunikasi rancang wajibkan pengesahan identiti pengiklan media sosial

LocalTechnology
31 May 2026 • 3:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kementerian Komunikasi rancang wajibkan pengesahan identiti pengiklan media sosial

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi merancang untuk mewajibkan semua pengiklan yang menggunakan perkhidmatan iklan berbayar atau sponsored advertisement di platform media sosial mengesahkan identiti mereka bagi membendung aktiviti penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, langkah berkenaan turut menyasarkan aktiviti perjudian digital dan penyalahgunaan identiti tokoh terkenal.

Ia merupakan tanggungjawab baharu di bawah Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang akan berkuatkuasa mulai esok di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Tegasnya, kod berkenaan terpakai kepada penyedia platform media sosial yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen, iaitu yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia, lapor Bernama.

"Kita banyak melihat sponsored post menggunakan wajah individu terkenal untuk buat kandungan seperti pelaburan meragukan, penipuan kewangan serta perjudian dalam talian dan setakat ini sukar untuk mengambil tindakan kerana kita tidak mengetahui siapa yang sebenarnya membayar iklan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka bagi Dewan Undangan (DUN) Negeri Banda Hilir di Taman Kota Laksamana Cheng Ho, Melaka, hari ini.

Menurut Teo, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mewajibkan setiap pengiklan, sama ada individu atau entiti berdaftar melalui proses pengesahan identiti oleh pihak platform sebelum mereka dibenarkan menyiarkan iklan berbayar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penyedia platform media sosial digesa memberikan kerjasama penuh dalam mematuhi RMC serta Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang mula berkuat kuasa esok, demi menjamin keselamatan pengguna Internet.

Mengenai mekanisme pengesahan umur bagi menghalang individu di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial yang turut berkuat kuasa esok, Teo menjelaskan dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport diperlukan bagi tujuan pendaftaran

Beliau mengakui terdapat segelintir ibu bapa yang masih mencari pendekatan terbaik untuk meyakinkan anak-anak mengenai langkah keselamatan tersebut, namun majoritinya menyokong penuh inisiatif berkenaan.

"Memang ibu bapa sangat sokong kerana mereka faham Internet ini memang banyak isu seperti buli siber, penderaan seksual dan child grooming (antun seksual kanak-kanak), yang semua ini adalah isu-isu yang dihadapi oleh ibu bapa," katanya.

Katanya kerajaan akan memberi tempoh munasabah kepada penyedia platform untuk memenuhi tanggungjawab baharu ini, namun tahap pematuhan yang tinggi amat diharapkan. - 31 Mei, 2026

The post Kementerian Komunikasi rancang wajibkan pengesahan identiti pengiklan media sosial appeared first on Scoop.