Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sandakan periksa bazar Ramadan

LocalPolitics
7 Mar 2025 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Hampir semua daripada 100 gerai di bazar Ramadan kawasan letak kereta Bataras Hypermarket mematuhi undang-undang penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Kesemua gerai berkenaan diperiksa oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah (KPPD) Azdy Zukkry John pada Rabu.

Azdy berkata pemeriksaan dijalankan berikutan pelaksanaan Ops Pantau 2025 oleh KPDN yang bermula pada 2 Mac lalu.

“Tujuan operasi ini adalah memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN selain mereka tidak melakukan sebarang pencatutan.

“Operasi sama juga memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui media selepas pemantauan terbabit.

Mengulas lanjut, Azdy menyatakan selain bazar Ramadan KPDN juga meningkatkan pemeriksaan ke premis perniagaan seperti pasar awam, pasar raya, pasar basah dan kedai runcit di seluruh Sandakan sepanjang bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang dengan amalan perniagaan beretika.

“Tindakan tegas seperti kompaun serta merta akan dikenakan kepada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Azdy turut memaklumkan pihaknya sudah menjalankan 1,683 pemeriksaan sejak 1 Januari 2025 dan menerusi jumlah terbabit 70 kes diambil tindakan dengan nilai rampasan RM 1,008,409.74.