Kementerian semak semula had pengguna media sosial berlesen

LocalPolitics
15 Jan 2026 • 6:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Kementerian Komunikasi meneliti semula had 8 juta pengguna untuk lesen media sosial, susulan isu AI Grok, dan merancang pengesahan umur melalui MyKad dan MyDigital ID.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk menyemak semula penetapan jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial di Malaysia yang dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)].

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu diambil susulan isu terkini melibatkan kecerdasan buatan (AI) Grok yang menjana kandungan mudarat.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dipertanggungjawabkan untuk mengkaji perkara tersebut.

“Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain,” katanya.

Beliau menambah X mungkin kurang popular tetapi masalah Grok ini memerlukan penilaian semula.

Fahmi berkata beliau menyerahkan kepada MCMC untuk mengkaji had yang sesuai dan tindakan yang perlu diambil.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Lembah Pantai di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya.

Bermula 1 Januari lepas, semua penyedia perkhidmatan yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen.

Bagaimanapun, X memaklumkan jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang 8 juta orang.

Pada 11 Januari lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial.

Beliau berkata ia akan dilaksanakan menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.

“Ini yang sedang diteliti oleh mekanisme pengesahan identiti Electronic Know Your Customer (EKYC),” katanya.

Beliau menambah Malaysia mempunyai keunikan dengan mekanisme seperti MyKad.