Kempen bayaran tanpa tunai 'Cashless Boleh' tingkatkan agenda pendigitalan kerajaan
zulfadli
30/10/2023 - 15:58
KUALA LUMPUR 30 Okt - Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran runcit nasional dan penyedia infrastruktur kewangan berpusat, kekal komited sepenuhnya menyokong agenda pendigitalan kerajaan menerusi kempen 'Cashless Boleh Kebangsaan' bagi menyokong momentum perkembangan pembayaran digital dalam sektor awam.
Kempen siri ketiga itu adalah susulan dua kempen tersebut yang berlangsung selama tempoh 6 bulan yang telah membuahkan beberapa kejayaan.
Tiga pencapaian penting dicapai setakat ini, antaranya kadar penembusan pembayaran digital sektor awam secara keseluruhannya melepasi 80% kepada 81.3%, iaitu peningkatan lebih 22% di peringkat persekutuan dan negeri daripada 58.8% sejak 2021.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang berjaya melepasi 80% penembusan pembayaran digital dan lapan kementerian dan agensi sektor awam yang sebelum ini berasaskan transaksi tunai mencapai penembusan pembayaran digital penuh.
Lapan kementerian dan agensi terbabit, termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, 155 pihak berkuasa tempatan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies berkata, kerajaan kekal fokus kepada peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam sektor awam.
Katanya, kerjasama sektor awam dan sektor swasta penting untuk memajukan agenda pembayaran tanpa tunai negara seperti ini, kerana ia menyumbang secara langsung kepada matlamat tersebut.

"Peningkatan kecekapan dan kesenangan dinikmati rakya dari segi masa dan kos apabila berurusan dengan kerajaan nir tunai amat ketara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad pula berkata, sebagai penyedia infrastruktur pembayaran runcit negara, pihaknya berbangga dapat memudah cara perjalanan negara ke arah ekonomi digital.
Katanya, pihaknya melaksanakannya dengan menyediakan pembayaran digital kepada rakyat dengan cara yang selamat, mudah diakses dan inklusif.
"Natijah membuka potensi pembayaran digital kepada sektor awam amat besar dan ini memberi kesan langsung kepada keterbukaan ekonomi negara ini di samping memupuk lebih kepercayaan dan keyakinan orang ramai, dan dengan itu, mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk memacu inovasi dan kemakmuran saksama.
"Pada lebih 80%, rakyat dan kerajaan sudah pun dapat merasakan betapa menakjubkan peningkatan kecekapan yang telah diperolehi. Malah, tidak salah untuk saya nyatakan yang impaknya benar-benar transformatif dan suatu fenomena," katanya. - DagangNews.com

