Kempen ‘Indahnya Kelantan’ sasar 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

LocalTravel
31 Dec 2025 • 11:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kempen ‘Indahnya Kelantan’ sasar 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 image is not available liza31/12/2025 - 11:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – Kelantan menyasarkan kedatangan 12 juta pelancong pada tahun 2026 susulan kejayaan mencatat 11 juta pelancong pada tahun ini.

 

Data yang direkodkan menunjukkan kedatangan pelancong terus bertambah setiap tahun berbanding 10.5 juta pada 2024 hasil pelaksanaan pelbagai promosi yang dijalankan kerajaan negeri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata usaha memperkasakan kempen promosi kini giat dijalankan untuk memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.

 

“Kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) sedang merangka pelbagai acara pelancongan, kesenian dan kebudayaan bagi tahun 2026.

 

“Ini adalah inisiatif kita meneruskan kesinambungan serta kejayaan kempen 'Indahnya Kelantan' untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kempen Malaysia Year End Sale (MYES), Wilayah Timur di Kota Bharu malam tadi.

 

Tambahnya, selain keindahan alam semulajadi yang masih tidak tercemar, faktor tarikan pelancong yang lain ialah keramahan penduduk serta rasa selamat pelancong sepanjang berada di Kelantan.

 

“Kelantan bukan sahaja terkenal dengan keunikan dan keenakan makanan tradisional, bahkan turut memiliki kepelbagaian budaya yang unik merangkumi pelbagai bidang kesenian dan warisan yang boleh menarik pelancong datang ke negeri ini.

 

“Oleh itu semua pihak terutama peniaga dan penggiat industri serta rakyat perlu berganding bahu memastikan pelancong yang datang sentiasa terhibur, berasa selamat dan dialu-alukan,” katanya.

 

Pada akhir September lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan negeri agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosikan produk pelancongan negeri tersebut.

 

Baginda menitahkan supaya produk pelancongan berpotensi seperti kebudayaan, warisan sejarah, kesenian, gastronomi, pesisir pantai serta geopelancongan diberi tumpuan agar impaknya dinikmati rakyat jelata.- DagangNews.com

Terkini standard