
KOTA BHARU - Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Kementerian Komunikasi sudah dilaksanakan di lebih 8,000 sekolah seluruh negara setakat ini sebagai usaha memperkukuh keselamatan digital dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik) kementerian itu, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, kempen tersebut disasarkan melibatkan 10,220 institusi pendidikan termasuk universiti awam dan swasta menjelang penghujung tahun ini.
“Kempen ini dilaksanakan secara menyeluruh termasuk program kesedaran, forum pendidikan dan aktiviti interaktif membabitkan pelajar, guru serta ibu bapa.
“Fokus utama ialah membentuk daya tahan digital dalam kalangan anak-anak, terutamanya melibatkan isu buli siber, eksploitasi seksual dalam talian, jenayah penipuan serta penyalahgunaan data peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani X PMR, Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-sekolah di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi dalam menjayakan kempen itu di peringkat negeri serta daerah.
Beliau berkata, antara bentuk pelaksanaan ialah melalui ceramah keselamatan siber, bengkel literasi digital, forum awam dan pengedaran kit keselamatan internet.
Katanya, selain pelajar, kempen itu juga memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti setempat untuk menjadi penjaga utama keselamatan digital anak-anak.
“Masih ramai ibu bapa kurang pendedahan terhadap risiko digital yang dihadapi anak-anak mereka.
“Dengan pendekatan lebih santai dan interaktif, kami mahu bantu mereka faham bagaimana untuk memantau serta membimbing anak-anak berinteraksi secara selamat dalam ruang siber,” katanya.




