SHAH ALAM - Kempen Internet Selamat kini diperkasa dengan pendekatan rakan sebaya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia terhadap ancaman dunia digital.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, inisiatif tersebut memberi fokus terhadap ancaman penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu dan risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.
"Seramai 80 pelajar bersama 20 fasilitator daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Pagoh terlibat dalam program tersebut.
"Kesemua mereka akan bertindak sebagai agen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
**media[3497123]**
Kempen berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Johor yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
MCMC memaklumkan, pendekatan tersebut dilihat lebih dekat dengan kumpulan sasar dan relevan dalam membentuk kesedaran, sekali gus meningkatkan impak penyampaian kepada golongan itu.
Program tersebut turut menampilkan pendekatan interaktif yang dikendalikan oleh fasilitator MPP dengan pengisian utama persembahan sketsa bertajuk 'Ops Kantoikan Scammer: Aku bukan mangsa kau' yang memberi pendedahan secara santai dan berkesan mengenai taktik scammer serta langkah pencegahannya.
Setakat 31 Mac 2026, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di IPT seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.

