Kempen pelancongan digital Sabah diiktiraf antarabangsa

11 Sep 2026 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kempen pelancongan digital Sabah diiktiraf antarabangsa

Kota Kinabalu: Kempen pelancongan digital dibangunkan Sabah yang menggabungkan realiti terimbuh (AR), elemen permainan dan penerokaan berasaskan lokasi menawarkan cara baharu kepada pelawat serta penduduk tempatan untuk menerokai tarikan pelancongan selain menyokong perniagaan di seluruh negeri.

Borneo Adventure Hunt yang dibangunkan Jalin Creative Sdn Bhd dan Reviewbah Sdn Bhd, dilancarkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib di Digital and IoT Sandbox, di sini, Khamis.

Kempen itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas dinobatkan sebagai antara enam finalis global bagi kategori Best Location-Based Entertainment pada Auggie Awards 2026 yang diadakan sempena Augmented World Expo (AWE) USA di Long Beach, California.

James berkata pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan produk dan bakat yang dibangunkan di Sabah mampu bersaing di peringkat global.

“Apabila kita mengatakan Sabah mempunyai bakat, inilah yang kita maksudkan. Ia bukan slogan, tetapi bukti,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang.

Dibangunkan menerusi kerjasama antara Jalin Creative dan Reviewbah, Borneo Adventure Hunt membolehkan peserta menerokai lokasi pelancongan terpilih, membuka pengalaman AR, menyelesaikan cabaran digital, mengumpul ganjaran dan mendapatkan tawaran promosi daripada perniagaan tempatan yang mengambil bahagian.

Kempen itu dibangunkan dan dihoskan menerusi Reviewbah, aplikasi penemuan dan ulasan tempatan yang dibangunkan di Sabah dengan kira-kira 1.1 juta pengguna, membolehkan peserta menyertainya tanpa perlu memuat turun aplikasi berasingan.

Peserta boleh memuat turun aplikasi Reviewbah daripada App Store atau Google Play, mendaftar akaun percuma dan mengunjungi lokasi yang mengambil bahagian di sekitar Kota Kinabalu, termasuk Jalan Gaya, Muzium Sabah, bangunan warisan Lembaga Pelancongan Sabah, Gereja Sacred Heart, Kadaiku, Cocoa Kingdom dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Di setiap titik semak, peserta perlu menghalakan telefon mereka ke lokasi berkenaan untuk mendedahkan dan mengumpul objek AR. Mereka boleh mengunjungi sebanyak mana lokasi yang mengambil bahagian sepanjang tempoh kempen.

Peserta yang melengkapkan sekurang-kurangnya enam lokasi akan menerima baucar daripada peniaga yang mengambil bahagian dan secara automatik menyertai cabutan bertuah bulanan yang berlangsung sepanjang tempoh kempen.

200 peserta pertama yang melengkapkan sekurang-kurangnya enam lokasi turut menerima Gold Card edisi terhad. Hanya 200 kad dihasilkan dan tiada kad tambahan akan dikeluarkan selepas kesemuanya dituntut.

Pengarah Jalin Creative Simon Jr Jalin berkata kempen itu menunjukkan bagaimana teknologi imersif yang dibangunkan tempatan boleh diaplikasikan secara langsung dalam sektor pelancongan.

“Matlamat kami adalah menggunakan teknologi digital secara praktikal untuk meningkatkan pengalaman pelawat sambil mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan Sabah. Kami mahu pelawat menerokai lebih banyak lokasi di Sabah, merasai tarikan dan budaya kita, dan pada masa sama menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Reviewbah Poong Ka Vui berkata kempen itu menunjukkan bagaimana platform digital tempatan boleh menghubungkan penglibatan dalam talian dengan aktiviti pelancongan di dunia sebenar.

“Melalui Reviewbah, kami mahu menjadikan penemuan tempatan lebih menarik dan memberi ganjaran. Borneo Adventure Hunt menggalakkan pengguna beralih daripada penemuan digital kepada kunjungan sebenar, selain membantu perniagaan yang mengambil bahagian meningkatkan keterlihatan dan penglibatan pelanggan,” katanya.

James berkata kreativiti juga perlu dilihat sebagai aset ekonomi yang mampu menjana nilai, peluang pekerjaan dan perusahaan baharu untuk Sabah.

“Kreativiti bukan lagi sekadar minat atau bakat. Kreativiti ialah aset dan pemacu ekonomi,” katanya.

James turut mengiktiraf sokongan MDEC terhadap projek itu, yang disifatkannya sebagai kerjasama tiga pihak membabitkan MDEC, Reviewbah dan Jalin Creative, selain peranan Scenic dalam menyediakan sokongan, bimbingan, rangkaian dan peluang kepada syarikat tempatan.

Beliau berkata projek itu menunjukkan kepentingan membina ekosistem yang membolehkan bakat dan idea tempatan berkembang menjadi inovasi dengan impak ekonomi yang lebih luas.

Kempen itu menghubungkan tarikan pelancongan dengan hotel, restoran, peruncit dan perniagaan lain yang mengambil bahagian, dengan matlamat menggalakkan pelawat menerokai lebih banyak destinasi, kekal lebih lama dan berbelanja di rangkaian perniagaan tempatan yang lebih luas.

Ia turut menyokong agenda transformasi digital Sabah yang lebih menyeluruh dan aspirasi Sabah Maju Jaya, khususnya dalam memperkukuh sektor pelancongan, keusahawanan, inovasi dan penerimagunaan digital.

James berkata Borneo Adventure Hunt menunjukkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memenuhi keperluan sebenar sambil memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.

“Ini ialah teknologi yang diaplikasikan kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat Sabah. Inilah jenis inovasi yang perlu kita galakkan,” katanya.

Pelancaran itu menampilkan demonstrasi AR secara langsung, pameran enam syarikat berstatus Malaysia Digital dari Sabah, penyampaian Gold Card dan cabutan bertuah, sekali gus membolehkan media, wakil industri serta tetamu jemputan mengalami sendiri platform berkenaan.

Jalin Creative, Reviewbah dan rakan kongsi mereka percaya Borneo Adventure Hunt mampu menyumbang kepada usaha meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang lebih inovatif, berhubung secara digital dan berdaya saing, khususnya bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menuju Tahun Melawat Sabah 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved