‘Kena Bawa Teropong Ke?’ Ramai Tak Puas Hati Konsert Billie Eilish di KL

Music
19 Aug 2022 • 11:02 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jarak pentas yang jauh daripada penonton menimbulkan rasa tidak puas hati pengunjung konsert Billie Eilish.

Rumah sudah siap namun pahat masih berbunyi, itulah pepatah yang menceritakan konsert sulung pertama pemenang Anugerah Grammy, Billie Eilish di Malaysia apabila rata-rata pengunjung meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjuran konsert pada malam tadi.

Di laman media sosial Twitter, nama Billie Eilish menjadi trending kerana rata-rata peminat menganggap susun atur dan kedudukan pengunjung untuk konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 itu sangat mengecewakan di samping sistem bunyinya yang dianggap teruk.

Sudahlah ini konsert pertama selepas pandemik di Stadium Nasional Bukit Jalil, pengunjung yang membayar  tiket sehingga RM500 kecewa kerana jarak penonton dan pentas sangat jauh seolah-olah seperti menonton perlawanan bola sepak.

“Dah la tak bawa teropong” kata seorang pengunjung.

Bukan itu sahaja, ada pengunjung yang membandingkan konsert Eilish dengan Siti Nurhaliza Fantasia Tour di lokasi yang sama pada tahun 2004.

Walaupun sudah lama berlalu, namun penganjuran konsert Siti nampak lebih tersusun dengan saiz skrin yang jauh lebih besar.

Pengunjung juga berharap agar mana-mana penganjur konsert selepas ini akan mengambil iktibar daripada peristiwa ini dan memberikan pengalaman konsert yang terbaik sesuai dengan harga yang ditawarkan.

Peminat sudah beratur seawal jam 10 pagi untuk ke konsert Eilish untuk mendapatkan tempat terbaik.

Eilish dan abangnya, Finneas yang juga seorang komposer selamat mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) petang Selasa selepas konsertnya di Korea Selatan.

Bukan itu sahaja, gambarnya menjadi tular sebaik sahaja kehadirannya memakai baju santai tanpa lengan berwarna hitam bersiar-siar di pusat beli-belah Sungei Wang.

Terdahulu, Live Nation Malaysia mula menjual tiket konsert bermula 27 Jun pada harga RM308, RM408, RM508 dan RM598.- Getaran, 19 Ogos 2022

Sumber foto: Twitter Khairulaming