
KUALA LUMPUR - Kenaikan elaun sara hidup (ESH) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukan sahaja diterima baik oleh para pelajar dan ibu bapa masing-masing, tetapi turut menjadi perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Di SELANGOR, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri Zawawi Ahmad Mughni berkata pengumuman berkenaan merupakan sesuatu yang positif dan dapat membantu pelajar dalam menangani kos sara hidup khususnya pembelian barangan berkaitan pembelajaran.
Jelasnya walaupun kadar kenaikan itu hanya RM100, tetapi memberi implikasi yang besar kepada mahasiswa dan banyak perkara boleh dimanfaatkan dengan nilai berkenaan.
Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata kenaikan kadar elaun untuk pelajar tajaan JPA itu sememangnya sangat baik dan sebagai pihak yang menjaga kebajikan rakyat, beliau sangat berterima kasih dengan keputusan perdana menteri tersebut.
"Namun lebih baik jika kadar kenaikan itu lebih tinggi daripada RM100 kepada RM300 misalnya, kerana memandangkan semua kos sekarang mahal, bukan makan sahaja, sewa rumah, bil elektrik semua tinggi,” katanya.
Di PERAK, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata pengumuman mengenai kenaikan kadar elaun itu merupakan satu inisiatif baik oleh Kerajaan Perpaduan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Ini (kenaikan elaun sara hidup) adalah satu pelaburan yang amat penting bagi sumber manusia negara kita. Saya juga berharap anak-anak muda yang menikmati manfaat ini dapat berkhidmat dan menyumbang balik kepada masyarakat dan negara kita pada masa depan," katanya.
Di JOHOR, Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya Lim San Shien berkata insentif itu dapat menyuntik semangat mahasiswa dalam memenuhi harapan dan aspirasi negara, sekali gus menjadikan rakyat berpendidikan dan bertamadun.
Ikon Siswa Kepimpinan itu berkata pada masa sama, golongan berkenaan juga dapat meningkatkan akses pendidikan lebih berkualiti dan menambah ilmu dengan membeli buku rujukan, bahan ilmiah dan buku bacaan sebagai nilai tambah.
"Saya sarankan kepada mahasiswa agar memanfaatkan ESH bagi tujuan yang baik seperti pembelajaran, pembelian bahan ilmiah, perbelanjaan harian selain boleh gunakan untuk perniagaan permulaan bagi pembangunan positif dan holistik," katanya.
-Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Akademik dan Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Angelica Tijan Musi merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan pelajar tajaan JPA.
“Kita tahu bahawa kos sara hidup semakin meningkat. Saya yakin kenaikan ESH akan membantu para pelajar untuk lebih fokus kepada pengajian dan lebih bermotivasi untuk mencapai prestasi terbaik,” katanya.
Ketua Jawatankuasa Kebajikan dan Kesejahteraan, Majlis Perwakilan Pelajar UTHM Muhammad Aiman Hanif Muhammad Zakaria berterima kasih kepada perdana menteri yang memahami pelbagai kekangan dihadapi pelajar berikutan masalah kewangan. - Bernama

