Kenaikan elaun sara hidup nelayan dikaji - Mat Sabu

10 Aug 2023 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad (tengah) pada sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra Madani bersama Nelayan Kuala Kedah di Perikanan LKIM Kuala Kedah, di sini pada Khamis.

KUALA KEDAH - Kerajaan akan mempertimbangkan kenaikan bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) mengikut kemampuan kewangan dan apabila ekonomi negara makin mengukuh.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetap meneruskan pemberian ESHN dengan kadar RM300 sebulan kepada 38,000 nelayan di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM136.8 juta.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan nelayan meskipun kemampuan kewangan kerajaan masih lagi terhad kerana pemulihan ekonomi baharu sedang berlaku, sekali gus mencari jalan terbaik meringankan bebanan rakyat.

"Jika ekonomi negara mulai pulih serta pendapatan negara bertambah, insya-ALLAH tuntutan nelayan ini juga akan cuba penuhi setakat yang mampu, bergantung kemampuan kewangan kita," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Madani bersama Nelayan Kuala Kedah di Pelabuhan Perikanan LKIM Kuala Kedah, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Mohamad berpandangan, kenaikan elaun terbabit bergantung kepada kestabilan politik.

"Kestabilan politik amat penting kepada sesebuah negara demi memastikan pelabur tidak lari ke negara lain.

"Kemasukan pelabur seperti Elon Musk turut menarik pelabur lain untuk melabur di Malaysia, sekali gus menyebabkan nilai ringgit makin naik. Jadi, kita harap ekonomi akan pulih dalam masa singkat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan masih mengkaji cadangan pemberian subsidi berdasarkan output jumlah hasil padi.

"Kita belum melaksanakan hal itu, ia masih lagi peringkat kajian dan masa sekarang kita beri subsidi secara purata mengikut nilai tan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved