Kenaikan gaji PPM RM2,000 diluluskan DUN Sabah

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenaikan gaji PPM RM2,000 diluluskan DUN Sabah
Hajiji (depan, kanan) menjawab soalan tambahan Arthur dalam sidang DUN Sabah.

KOTA KINABALU - Enakmen Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat (Pindaan) 2026 yang menyelaraskan gaji Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

RUU itu diluluskan selepas sesi penggulungan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mandela Malakun, sebelum mendapat persetujuan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketika menggulung perbahasan, Mandela merakamkan penghargaan kepada semua ADUN yang mengambil bahagian dalam membahaskan RUU berkenaan serta menyumbang pelbagai pandangan, teguran dan cadangan bagi menambah baik kebajikan serta peranan PPM.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum cadangan yang dibangkitkan termasuk berkaitan elaun utiliti, perjalanan dan kemudahan lain yang boleh dipertimbangkan pada masa hadapan mengikut kemampuan kewangan negeri.

"Saya menghargai segala pandangan, teguran dan cadangan yang dikemukakan termasuk pandangan bahawa kadar elaun elektrik dan elaun perjalanan boleh dipertimbangkan semula pada masa hadapan.

"Kerajaan akan meneliti cadangan-cadangan yang dibangkitkan secara bertanggungjawab berdasarkan kemampuan kewangan negeri dan keperluan semasa," katanya.

Mandela berkata, kadar gaji pokok RM1,500 yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat 1981 telah kekal selama 45 tahun, sedangkan tanggungjawab yang dipikul PPM semakin luas dan mencabar.

Menurutnya, justeru kerajaan negeri berpandangan pelarasan gaji kepada RM2,000 adalah munasabah dan sudah sampai masanya dilaksanakan sebagai pengiktirafan terhadap peranan PPM sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

"Dalam tempoh 45 tahun tersebut, tanggungjawab PPM semakin luas. Oleh itu kerajaan negeri beranggapan pelarasan gaji pokok daripada RM1,500 kepada RM2,000 adalah munasabah dan sudah tiba masanya.

"Pindaan ini merupakan satu langkah yang adil dan praktikal untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat," katanya.

Beliau turut memaklumkan pindaan enakmen itu dijangka berkuat kuasa selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan selepas diluluskan, manakala pelarasan gaji akan dilaksanakan sebaik sahaja enakmen berkenaan berkuat kuasa.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan peranan PPM bagi memastikan dasar dan program kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada seluruh rakyat Sabah, termasuk di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang.

Pada masa sama, beliau menegaskan pelarasan gaji itu bukanlah noktah kepada usaha memperkukuh kebajikan PPM, sebaliknya kerajaan akan terus mempertimbangkan cadangan penambahbaikan yang sesuai dari semasa ke semasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved