LONJAKAN harga baja global susulan konflik di Asia Barat adalah amaran awal kepada sistem makanan Malaysia. Baja ialah input asas: apabila harga baja naik, kos pengeluaran meningkat; apabila petani mengurangkan penggunaan baja kerana tidak mampu, hasil boleh menurun.
Sama ada langkah pertama atau kedua oleh petani, yang menerima akibat akhir adalah pengguna. Pengguna atau lebih mudah fahamnya, rakyat akan membayar harga makanan yang lebih tinggi dan menjadikan kos sara hidup semakin menekan.
Dalam keadaan begini, kenyataan bahawa “bekalan makanan terjamin” tidak memadai walaupun ianya boleh membantu menenangkan pasaran. Ia menjadi retorik Kementerian jika ia tidak disertai pelan dasar yang jelas untuk mengurus risiko input dan kos rantaian.
Masalahnya, krisis makanan tidak bergerak melalui satu saluran sahaja. Ia melibatkan kos penghasilan dan pengagihan baja. Kesemuanya melibatkan sumber tenaga, diesel. Sebab itu, keputusan menaikkan harga diesel komersial pada saat pasaran input global bergolak perlu dinilai secara kritikal.
Diesel bukan isu kecil; ia “enjin” kepada rantaian makanan daripada jentera ladang, pengangkutan baja dan hasil, operasi kilang pemprosesan, hingga penghantaran ke pasar dan pasar raya. Apabila diesel naik, ia menggerakkan kenaikan kos sepanjang rantaian.
Bagi tahun ini, pada akhir Mac, diesel di Semenanjung dilaporkan meningkat sehingga RM5.52 seliter. Ini bukan perubahan kecil; ia perubahan struktur kos.
Krisis 2022 tidak sama 2026
Perlu ditegaskan, ketika kos input global meningkat, menaikkan diesel pada masa yang sama akan mempercepatkan kenaikan harga makanan. Apa yang rakyat lihat hari ini mungkin belum sepenuhnya memaparkan tekanan kos sebenar. Ia bukanlah bermaksud sistem stabil.
Dalam rantaian bekalan, lazimnya akan wujud tempoh lengah sebelum kos global diterjemahkan kepada harga runcit. Ini tidak menghairankan kerana para pengimport mungkin masih menggunakan stok lama yang dibeli pada harga lebih rendah ketika permulaan kenaikan harga diesel berlaku. Selain itu, pengeluar pula menyerap sebahagian kos dengan mengecilkan margin.
Namun “kestabilan” ini hanyalah bersifat sementara apabila input baharu yang lebih mahal menggantikan stok lama dan apabila pengeluar tidak lagi mampu menyerap kos, harga runcit akan menyesuaikan.
Dalam pengalaman pasaran, tempoh lengah seperti ini lazimnya sekitar beberapa bulan iaitu diantara tiga ke enam bulan, bukan bertahun.
Hakikat yang perlu kita akui, krisis 2022 jauh lebih teruk dari segi tekanan serentak pada tenaga, komoditi dan logistik. Ketika itu, kita bukan sahaja menyaksikan perang Rusia–Ukraine, pemain besar minyak dan gas, tetapi kita juga berada pada fasa pasca Covid-19, fasa pembukaan semula ekonomi dunia.
Dua keadaan ini menyebabkan permintaan di peringkat global melonjak ketika kapasiti pengeluaran dan kapasiti penghantaran masih perlahan dan minimum.
Harga minyak Brent pernah mencecah sekitar AS$139 setong pada awal 2022. Dalam tempoh yang sama, pasaran baja dunia turut mengalami lonjakan besar sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap langkah yang sama oleh petani seperti yang disebutkan dalam perenggan awal. Ertinya, pada 2022 “stok, pengeluaran dan penghantaran” sama-sama tertekan.
Tekanan pada masa kini lebih tertumpu kepada gangguan penghantaran dan ketidaktentuan geopolitik tertentu; kapasiti pengeluaran global dan ia tidak sesukar seperti mana yang berlaku pada 2022. Namun menariknya, amaran kenaikan harga makanan kali ini kedengaran lebih kuat dan lebih cepat.
Persoalannya mengapa? Salah satu jawapan paling logik ialah struktur kos domestik sudah berubah: diesel komersial kini jauh lebih tinggi, maka sebarang kejutan luar akan “ditambah gandakan” oleh kos dalaman sendiri.
Dengan kata lain, walaupun krisis global hari ini “lebih ringan” dari 2022 dari sudut serentak, impak kepada kos rantaian makanan di dalam negara boleh menjadi lebih keras kerana asas kos kita sudah meningkat.
Apa yang perlu dilakukan sekarang?
Di sinilah isu dasar menjadi penting. Kerajaan pada 2022 bertindak mengekalkan diesel pada paras lebih rendah untuk mengelakkan kos rantaian melonjak mendadak, disamping menggunakan pelbagai instrumen fiskal untuk menampan inflasi kos.
Logik dasarnya mudah: apabila harga minyak dunia tinggi, hasil kerajaan dan dividen syarikat minyak nasional lazimnya meningkat, dan lebihan itu boleh digunakan sebagai penampan untuk mengelakkan kejutan harga kepada rakyat.
Hari ini, apabila diesel di Semenanjung mencecah RM5.52 seliter, kerajaan wajar menjelaskan secara lebih terang dasar penampan (buffering) yang dipilih: apakah rasional masa, apakah mekanisme perlindungan rantaian makanan, dan apakah sasaran tempoh sebelum pelarasan baharu dicari.
Tanpa penjelasan ini, dasar diesel akan dilihat sebagai pemangkin kenaikan harga yang boleh dielakkan.
Dalam konteks pertanian, masalah ini menjadi lebih berbahaya kerana Malaysia bukan sekadar terdedah pada baja. Kita juga sangat bergantung kepada input import lain, khususnya makanan ternakan (jagung dan soya), yang akhirnya bakal menganggu harga makanan asas rakyat seperti ayam, telur dan daging.
Apabila harga baja, diesel dan makanan ternakan import naik, sistem menjadi “terdedah dari tiga sisi” serentak. Pada titik ini, isu keterjaminan makanan perlu dinaik taraf daripada isu kementerian kepada dasar keselamatan ekonomi.
Justeru, pada dasarnya, suatu reformasi berkaitan polisi perlu dipertimbangkan secara serius. Antaranya mewujudkan mekanisme subsidi diesel bersasar kepada sektor pertanian dan makanan (pengeluaran padi, logistik makanan, pengangkutan input) daripada kejutan kenaikan harga sekurang-kurangnya dalam tempoh krisis input global.
Selain itu kerajaan harus mengadakan stok penimbal baja dan input ternakan. Ia harus diwujudkan dengan berstrategi, di mana mekanisme pelepasan jualan yang jelas apabila harga melonjak. Secara tidak langsung ia dapat mengelakkan manipulasi harga. Negara juga selain menyasarkan dari sekarang, untuk memenuhi SSL, perlu juga mencapai sasaran 100 peratus input tempatan sebagai KPInya.
Negara mempunyai banyak sumber biofertiliser, kompos industry untuk dijadikan sumber makanan ternakan alternatif tempatan. Peralihan dengan segeraakan mengelakkan negara lemah bila pasaran global bergolak. Malah kerajaan juga memperkenalkan dana penstabil kos input.
Ia bermakna kerajaan perlu menyediakan dana penampan (buffer fund) yang boleh digunakan bila harga baja atau makanan ternakan melonjak. Ia akan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi besar setiap kali krisis.
Penutup
Krisis baja dan konflik geopolitik bukan perkara baharu berlaku. Ia adalah krisis yang berlaku secara pasang surut. Krisis 2022 membuktikan ia dapat dikawal jika dasar penampan dibuat dengan tepat pada masanya.
Hari ini, jika diesel dibiarkan menjadi pemangkin utama inflasi kos makanan, tekanan harga yang bakal muncul bukan lagi misteri. Ia hanya menunggu masa input baharu yang mahal menggantikan semuanya.
Maka, soalan sebenar bukan “adakah harga makanan akan naik”, tetapi “mengapa dasar yang mempercepat kenaikan itu tidak diperbetulkan dari awal”. Itu yang perlu YB Menteri Pertanian lakukan, bukan mendendangkan lagu lama.
*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari dan Setiausaha Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar


