Kenaikan harga simen beri tekanan kepada sektor pembinaan, namun margin kontraktor masih stabil - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan harga simen beri tekanan kepada sektor pembinaan, namun margin kontraktor masih stabil - PublicInvest Image from: Kenaikan harga simen beri tekanan kepada sektor pembinaan, namun margin kontraktor masih stabil - PublicInvest hamden03/07/2026 - 10:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kenaikan harga bahan binaan, khususnya simen yang meningkat 9.3% tahun ke tahun, dijangka menjadi antara cabaran utama kepada syarikat pembinaan sepanjang 2026, walaupun keuntungan kontraktor utama masih berada pada tahap yang boleh diuruskan.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, harga keluli setakat ini kekal stabil, namun sebarang kenaikan kos bahan binaan yang berterusan berpotensi memberi tekanan kepada margin keuntungan industri.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan kebanyakan kontraktor utama masih mampu mempertahankan margin keuntungan menerusi klausa pelarasan harga dalam kontrak, pelaksanaan strategi kawalan kos yang berkesan serta keupayaan memindahkan sebahagian peningkatan kos kepada pelanggan melalui penetapan harga yang lebih berdisiplin.

 

"Tekanan inflasi daripada kos bahan binaan masih boleh diuruskan buat masa ini dan tidak dijangka menjejaskan prospek pertumbuhan sektor secara ketara," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Pertumbuhan Sederhana

Menurut PublicInvest, selepas mencatat pertumbuhan luar biasa sebanyak 20.2% pada tahun kewangan 2024 dan 12.5% pada tahun kewangan 2025, sektor pembinaan Malaysia kini memasuki fasa pertumbuhan yang lebih sederhana tetapi kekal berada pada landasan positif.

 

Data suku pertama tahun kewangan 2026 menunjukkan nilai kerja pembinaan yang disiapkan meningkat 8.5% tahun ke tahun kepada RM46.5 bilion, dengan sektor swasta terus menjadi pemacu utama apabila menyumbang RM30.5 bilion atau 65.5% daripada keseluruhan aktiviti pembinaan.

 

Pertumbuhan sektor swasta sebanyak 13.2% didorong oleh peningkatan mendadak dalam aktiviti perdagangan khusus serta pembinaan bangunan bukan kediaman, sebahagian besarnya hasil permintaan terhadap pembangunan pusat data berskala hiper.

 

Sebaliknya, sektor awam berkembang lebih perlahan pada kadar 0.5% dengan nilai kerja pembinaan RM16 bilion, namun terus disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan pusat data dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan industri dalam tempoh sederhana, disokong pelan pemodenan grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM43 bilion serta saluran pembangunan berkapasiti 8.3 gigawatt (GW).

 

Selain itu, 10 Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) yang mewakili kapasiti keseluruhan 2GW dianggarkan mampu menjana potensi nilai pembinaan sekitar RM80 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh kepada syarikat pembinaan.

 

Pada masa sama, kerajaan turut mempercepat pelaksanaan beberapa projek infrastruktur digital seperti JENDELA Fasa 2, Projek Kabel Dasar Laut (SALAM) dan Sovereign AI Cloud bagi memperkukuh ekosistem digital negara.

 

PublicInvest turut menjangkakan saluran projek infrastruktur kekal rancak dengan pelaksanaan projek utama termasuk LRT Pulau Pinang, Johor Bahru E-ART, MRT3, Kereta Api Trans Borneo, projek pemindahan air Perak-Pulau Pinang serta projek Large-Scale Solar 6 (LSS6).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan "Overweight" terhadap sektor pembinaan kerana menjangkakan aliran kontrak baharu akan terus kukuh, sekali gus menyokong pertumbuhan buku pesanan industri pada kadar yang setanding dengan dua tahun kebelakangan ini.

 

Bagi saham bermodal besar, PublicInvest mengekalkan Gamuda Bhd dan IJM Corporation Bhd sebagai pilihan utama berikutan rekod prestasi kukuh dalam projek infrastruktur awam, manakala bagi saham bermodal kecil dan sederhana, Kerjaya Prospek Group Bhd terus menjadi pilihan berasaskan buku tempahan belum dibil yang kukuh, pendapatan yang berdaya tahan serta pembayaran dividen yang konsisten. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved