liza01/10/2026 - 12:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt – Kenaikan kos terus menjadi tekanan terbesar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, namun cabaran itu belum mematahkan usaha majoriti pemilik perniagaan untuk mengejar pertumbuhan hasil.
Malah, sebanyak 57% PMKS masih meletakkan pertumbuhan hasil sebagai keutamaan dalam tempoh 12 bulan akan datang yang membuktikan kebanyakan pemilik perniagaan kekal optimis untuk berkembang walaupun berdepan tekanan kos.
Dapatan itu berdasarkan Kajian Tinjauan Perniagaan PMKS Malaysia 2026 yang dijalankan oleh Vase.ai ke atas 415 responden daripada pelbagai sektor di Malaysia pada separuh pertama 2026, atas permintaan Airwallex.
Kajian itu mendapati 67% PMKS menyenaraikan kenaikan kos sebagai tekanan utama perniagaan, diikuti kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang sesuai sebanyak 43% dan cabaran mengurus aliran tunai dalam pasaran tempatan serta global sebanyak 42%.
Antara punca utama peningkatan kos ialah harga barangan atau bahan mentah yang disebut oleh 25% responden, diikuti kenaikan kos pembekal sebanyak 20% serta perbelanjaan teknologi dan perisian sebanyak 16%.
Tekanan kos tidak halang PMKS berkembang
Bagi menangani tekanan tersebut, PMKS mengambil beberapa langkah termasuk mencari pembekal alternatif, menyusun semula operasi dan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan.
Selain pertumbuhan hasil, 55% responden turut meletakkan peningkatan kecekapan operasi sebagai keutamaan, manakala 35% merancang menghasilkan inovasi atau memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu.
Dari segi perbelanjaan pula, 29% PMKS menjangkakan perbelanjaan mereka meningkat sedikit dalam tempoh akan datang, manakala 24% menjangka peningkatan yang lebih ketara.
Teknologi jadi pemacu, kos pelaksanaan masih membebankan
Teknologi semakin menjadi sebahagian penting dalam operasi PMKS, terutama bagi meningkatkan keupayaan pemasaran yang dikenal pasti sebagai alat paling penting oleh 50% responden.
Ia diikuti perisian pengurusan perbelanjaan dan perisian perakaunan, masing-masing dengan 42% responden.

Namun, penggunaan teknologi turut menjadi cabaran apabila 44% PMKS menyatakan kos pelaksanaan yang tinggi menjadi halangan utama.
Selain itu, 34% responden bimbang mengenai privasi dan keselamatan data, manakala 33% berdepan kekurangan kepakaran dalaman untuk mengurus peralatan atau teknologi baharu.
PMKS mula intai peluang di luar negara
Dalam masa sama, PMKS Malaysia semakin melihat pasaran luar negara sebagai ruang untuk mengembangkan perniagaan, meskipun langkah itu datang dengan cabaran tambahan.
Sebanyak 51% responden menyifatkan halangan berkaitan undang-undang, peraturan dan pematuhan sebagai cabaran utama untuk mengembangkan operasi ke luar negara.
Sementara itu, 42% mengenal pasti keperluan membuka operasi tempatan serta mengurus urusan logistik sebagai antara cabaran utama.
Untuk membiayai pengembangan antarabangsa, 58% PMKS mendapatkan dana daripada pelabur, diikuti 51% melalui perkongsian dan syarikat sekutu, manakala 40% menggunakan semula keuntungan perniagaan.
Fintech semakin mendapat tempat
Penggunaan platform digital dan teknologi kewangan (fintech) juga semakin meluas dalam kalangan PMKS, dengan 54% responden menyatakan mereka telah menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Transaksi lebih pantas menjadi sebab utama penggunaan fintech, disebut oleh 66% responden, diikuti kemudahan penggunaan sebanyak 64% dan penjimatan kos sebanyak 53%.
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, 42% PMKS berkata mereka semakin agresif beralih kepada platform digital dan fintech, berbanding 33% yang lebih cenderung menggunakan perkhidmatan perbankan tradisional.
Tenaga kerja kekal cabaran utama
Bagi aspek tenaga kerja, produktiviti dan pengurusan prestasi menjadi cabaran terbesar apabila 38% responden menyatakan perkara itu sebagai isu utama.
Ia diikuti peningkatan kos gaji dan faedah pekerja sebanyak 32%, manakala 30% pula berdepan jurang kemahiran dalam kalangan tenaga kerja.
Dalam usaha mengekalkan pekerja, 48% PMKS menyediakan pakej faedah yang lebih baik, sementara 41% melabur dalam latihan dan pembangunan kerjaya.
Sebanyak 36% pula mengambil langkah meningkatkan gaji pekerja bagi membantu mengekalkan tenaga kerja.- DagangNews.com






