Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan pengumuman yang dibuat mengenai penutupan restoran beliau baru-baru ini adalah antara lain bagi menguar-uarkan kepada pelanggan-pelanggan restorannya yang datang dari jauh termasuk Singapura.
Dalam pada itu juga dia menepis beberapa dakwaan yang menyatakan seolah beliau menyalahkan pihak kerajaan dengan kos kenaikan harga barang.
“Di peringkat awal, kami menerima pelbagai komentar, kritikan dan saranan untuk penambahbaikan, samada dari sudut kualiti makanan atau perkhidmatan.
“Kami terima dengan lapang dada dan terus berusaha menambah baik dari masa ke semasa. Sedikit pun kami tidak membangkang atau menidakkan, diraikan semuanya. Mohon maaf kepada pelanggan yang ada pengalaman pahit dengan kami.
“Sangat terkilan apabila banyak pihak yang memutarbelit, menokok tambah dan memberi gambaran bahawa seolahnya saya menyalahkan pihak kerajaan, susulan kenyataan saya bahawa kenaikan harga barang yang menjadi antara faktor kerugian.
“Saya mohon hentikan kenyataan berbaur fitnah ini. Saya tidak pernah sekalipun menyebut walau sepatah perkataan yang mengaitkan pihak kerajaan dengan situasi ini. Kenaikan kos sara hidup adalah isu global, bukan hanya di negara Malaysia. Bahkan di Tanah Suci Makkah Madinah juga harga makanan turut naik mendadak,” katanya.
Penetapan harga tak seiring kos bahan mentah
Jelas beliau lagi, antara faktor utama kerugian adalah penetapan harga yang tidak tidak seiring dengan kenaikan harga kos bahan mentah semasa.
“Seperti dinyatakan, antara faktor utama kerugian ialah penetapan harga yang tidak tepat seiring kenaikan kos bahan mentah semasa. Puncanya kami agak keberatan menaikkan harga, kerana mahu para pelanggan dapat menikmati sajian pada harga yang berpatutan.
“Kami pernah mengambil khidmat konsultasi luar yang pakar dalam bidang pengiraan kos, menyatakan bahawa harga kami rendah dibanding modal, ‘portion’ yang banyak dan kos operasi yang tinggi. Pekerja kebanyakan adalah mereka yang memerlukan, ada yang menanggung ibu bapa yang sakit, menanggung adik yang ramai dan masih bersekolah dll. Maka kami tak sanggup memberikan gaji yang rendah.
“Walaupun Momen Kafe ditutup, kebajikan mereka tetap kami jaga. Mereka akan dipindahkan ke syarikat lain di bawah Hijrah Empire Group seperti di Galeri UAH, The Luxe Malaysia, Hijrah Training, dan lain-lain,” katanya.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
The post ‘Kenaikan kos sara hidup adalah isu global’ – Ustazah Asma’ Harun appeared first on The Reporter.


