Kenaikan siling gaji diinsuranskan tingkatkan faedah tunai 20.2% kepada 1.45 juta pekerja - KSM

16 Oct 2023 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan siling gaji diinsuranskan tingkatkan faedah tunai 20.2% kepada 1.45 juta pekerja - KSM

zulfadli

16/10/2023 - 10:39

KUALA LUMPUR 16 Okt - Kenaikan siling gaji diinsuranskan kepada RM6,000 daripada RM5,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2% bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pekerja dan orang tanggungan terbabit akan menerima peningkatan manfaat tersebut jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan.

Katanya, peningkatan siling gaji diinsuranskan itu akan berkuat kuasa selepas pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017 (Akta 800) dilaksanakan.

"Usaha ini diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial, selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM200 juta diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh, yang mana selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.

Menurut Sivakumar, tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan, iaitu geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta.

Katanya, tanggungan kerajaan dinaikkan kepada 90% berbanding 80% sebelum ini serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta.

image is not available

"Dua lagi inisiatif yang turut dilanjutkan adalah Program Latihan Bina Kerjaya (RM35 juta) dan skim sokongan pekerjaan di sektor swasta (RM30 juta), dengan tiga golongan sasar digariskan iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas.

"Dasar pengambilan pekerja OKU sebanyak 1% akan diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan pelbagai kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategik kerajaan," katanya.

Katanya, pemerkasaan dasar itu akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara, MYFutureJobs yang dilengkapi dengan kebolehan kecerdasan buatan (AI).

Tambah beliau, pelaksanaan rangkaian inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2024 di bawah KSM menerusi Perkeso akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, demi menjamin aspek keberkesanan, selari hasrat Kerajaan Persekutuan memperketatkan aspek tata kelola. - DagangNews.com