Kenaikan tarif Amerika Syarikat tidak ganggu harga komoditi eksport negara: Chan

LocalBusiness & Finance
11 Apr 2025 • 3:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Kenaikan tarif yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak mengganggu harga komoditi eksport negara, khususnya kelapa sawit, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Ini kerana, katanya, AS bukanlah pasaran utama untuk minyak sawit Malaysia memandangkan negara itu hanya mengimport satu peratus sawit dari negara ini.

“AS sendiri memiliki industri minyak kacang soya dan mereka sebenarnya adalah pesaing kita untuk pasaran minyak masak.

“Oleh itu, sebarang tarif yang dicadangkan oleh AS untuk kelapa sawit dilihat tidak begitu mengganggu. Namun, perkara itu akan mengganggu sentimen pasaran dari segi permintaan kerana semua khuatir dan tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya.

“Apabila kekhuatiran semakin tinggi, ini akan memberi kesan kepada permintaan dan akhirnya operasi eksport akan jatuh sedikit,” katanya selepas merasmikan Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) Daerah Tawau, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Chan berkata, satu lagi faktor yang harus dilihat adalah apabila AS mengenakan tarif lebih tinggi kepada Indonesia iaitu 34 peratus berbanding Malaysia (24 peratus), bermakna terdapat jurang tarif, sekali gus menjadikan minyak sawit negara jiran itu kurang daya saing berbanding Malaysia untuk pasaran AS.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan misi delegasi kerajaan Malaysia ke AS bagi membuat rundingan berkenaan tarif tersebut, tidak akan membawa seluruh dunia ke satu arah yang ‘tidak tentu’.

“Dengan pengumuman terbaharu penangguhan 90 hari oleh AS bagi tarif ini, termasuk Malaysia, saya amat yakin dengan misi rundingan delegasi Malaysia yang akan dihantar ke negara tersebut.

“Bagi menangani isu ini, Kerajaan Malaysia sudahpun menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.