Kenaikan tarif elektrik hanya libatkan industri, golongan kaya – PM

LocalPolitics
5 Feb 2025 • 11:04 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenaikan tarif elektrik yang bakal berkuat kuasa pada separuh kedua tahun ini tidak akan membebankan rakyat kebanyakan, sebaliknya hanya melibatkan sektor industri dan golongan berpendapatan tinggi.

Ketika berucap dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa (4 Februari 2025), Anwar menepis dakwaan bahawa kenaikan tersebut akan memberi kesan langsung kepada majoriti rakyat.

“Kenaikan tarif (elektrik) kepada industri dan golongan mahakaya adalah langkah yang perlu. Kalau tidak cukai kepada orang kaya, dari mana kita nak tambah peruntukan untuk sekolah dan hospital?” katanya.

Beliau menjelaskan, 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan semakan tarif yang dijadualkan pada Julai nanti. Kenaikan ini dibuat berdasarkan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang menyelaraskan kos bahan api setiap enam bulan.

Penjelasan kepada ACCCIM

Anwar turut menegaskan bahawa kenyataannya sebelum ini adalah respons kepada kebimbangan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) mengenai impak kenaikan tarif terhadap kos operasi perniagaan.

“Dengar betul-betul. Saya menjawab pertanyaan ACCCIM mengenai tarif elektrik bagi industri, bukan kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kadar kenaikan tidak setinggi 14.2 peratus seperti yang dicadangkan, bagi memastikan ia tidak memberi tekanan berlebihan kepada pemain industri.

Kerajaan kekal dengan keputusan

Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tiada kenaikan tarif bagi 85 peratus pengguna domestik untuk separuh pertama tahun ini, dengan kerajaan menyerap kos melalui mekanisme seperti Dana Industri Elektrik.

Semakan tarif pada Julai nanti akan menentukan kadar baharu bagi industri dan golongan berpendapatan tinggi, dengan kerajaan menekankan bahawa keputusan ini adalah langkah yang tidak boleh dielakkan demi kestabilan ekonomi.