Kenal Dalam Tempoh Singkat, Penyanyi Ejai Aziz Berkahwin Buat Kali Ke-2, Tamatkan Status Duda

12 Dec 2022 • 10:01 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ejai Aziz dan isteri, Nursyahirah Azhar. - Gambar ihsan Ejai Aziz

Penyanyi Ejai Aziz atau nama penuhnya Mohd Azrizal Mohd Aziz, 35, telah bergelar suami buat kali kedua pada Jumaat lalu (9 Disember) apabila memilih untuk mengahwini wanita pilihannya bernama Nursyahirah Azhar.

Sekali gus, bapa kepada dua anak ini juga telah menamatkan zaman dudanya selepas setahun menjalani kehidupan solo. 

"Tidak semua orang dilimpahkan nikmat untuk bertemu jodoh lebih daripada sekali. Jadi saya anggap kesempatan kali kedua ini mampu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

''Kami baru saja kenal pada tahun lepas. Biarlah orang kata tempoh perkenalan kami singkat, asalkan jodoh kami berpanjangan hingga ke akhir hayat itu lebih diutamakan,” katanya. 

image is not available
Ejai Aziz dan isteri, Nursyahirah Azhar berkahwin pada Jumaat lalu.

Vokalis kumpulan Azzara Band yang cukup dikenali menerusi lagu Alalala Sayang ini turut berkongsi momen bahagia bergelar raja sehari dalam majlis pernikahan yang berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Kluang, Johor.

"Alhamdulillah segala puji bagi Allah, dengan sekali lafaz, kami sah diijabkabulkan sebagai suami isteri pada majlis itu. 

"Terima kasih atas doa kalian buat kami dan juga untuk keluarga tercinta. Berbanyak terima kasih atas segala urusan kelancaran majlis buat kami," katanya. 

image is not available
Ejai bersama Muhamad Amie Rayyan dan dan Muhamad Anas Hafiy.

Hasil perkahwinan terdahulu, Ejai diurniakan dua anak lelaki iaitu Muhamad Amie Rayyan, 6, dan Muhamad Anas Hafiy, 5. 

Tahniah buat Ejai dan pasangannya. Selamat Pengantin Baru. – Getaran, 12 Disember 2022