Kenali Amalan Perarakan Usungan Tradisi Unik Masyarakat Melayu Pesisir Sarawak

21 Jan 2024 • 2:39 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Warisan turun-temurun yang semakin dilupakan

Kenali Amalan Perarakan Usungan Tradisi Unik Masyarakat Melayu Pesisir Sarawak. Negeri Sarawak dilimpahi dengan kekayaan bukan hanya merujuk kepada hasil bumi namun adat, budaya dan tradisi yang pelbagai membuatkan negeri kenyalang ini unik di mata dunia.

Bagaimanapun, di Sarawak terdapat pelbagai amalan tradisi yang dianggap ‘rare‘ oleh segelintir disebabkan kurang pendedahan mungkin disebabkan arus pemodenan membuatkan ianya semakin dilupakan.

Bercakap sahaja tentang perarakan usungan, pasti ramai generasi muda yang tidak tahu akan kewujudan tradisi ini bahkan cara sambutannya juga tidak pernah di amalkan sebelum ini.

image is not available
Kenali Amalan Perarakan Usungan Tradisi Unik Masyarakat Melayu Pesisir Sarawak

Cukup sohor di dalam kalangan Melayu Sarawak

Amalan perarakan usungan ataupun tandu ini cukup sohor dalam kalangan komuniti pesisir yang terdiri daripada masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Komuniti pesisir ini terdiri daripada beberapa daerah seperti di Kota Samarahan, Asa Jaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, Triso, Meludam , Beladin, Pusa, Kabong, Tanjung Manis, Mukah, Dalat dan banyak lagi.

Secara amnya, perarakan usungan ini diadakan di majlis perkahwinan dengan cara mengusung pengantin di atas usung mengelilingi kampung untuk meraikan raja sehari itu.

Simbolik usungan dilakukan

Di Belawai dan Kabong, amalan usungan ini tidak hanya meliputi perarakan untuk majlis perkahwinan malah diadakan untuk memuliakan peserta yang baharu sahaja menamatkan pengajian al-Quran.

Semestinya, simbolik sambutan ini diadakan adalah untuk meraikan pencapaian anak-anak yang baru sahaja menamatkan pengajian al-Quran dan disambut oleh masyarakat setempat di atas pencapaian mereka.

Mereka yang selesai pengajian al-Quran akan dibawa mengelilingi kampung menaiki usungan atau tandu sebagai hadiah dan juga motivasi kepada kanak-kanak lain yang belum menamatkan pengajian al-Quran mereka.

image is not available
Kredit foto: SarawakVoice

Reka bentuk usungan/tandu

Difahamkan, usungan merupakan alat untuk mengusung atau benda yang diusung manakala tandu pula alat yang berupa kerusi untuk mengusung orang pada zaman dahulu.

Rekaan usungan atau tandu direka mengikut keinginan dan permintaan anak-anak yang menyertai perarakan tersebut.

Antara replika yang dijadikan inspirasi kepada rekaan adalah seperti pesawat, rumah, masjid, perahu, bunga dan juga ikan.

image is not available
Kredit foto: SNS

Sejarah usungan/tandu pada zaman dahulu

Pada zaman dahulu, usungan merupakan salah satu pengangkutan yang digunakan oleh manusia untuk mengangkat barang dan untuk mengusung orang.

Pada zaman pemerintahan Sultan al-Mu’adzam Shah, usungan/tandu ini digunakan oleh kerabat diraja sebagai pengangkutan untuk melawat kampung disebabkan tiada kemudahan jalan raya dan kenderaan beroda yang wujud ketika itu.

Bahkan, penggunaan usungan ini sudah meluas di setiap negara dan China merupakan negara terawal menggunakannya seawal tahun 1853.

image is not available
Bertandu menuju ke istana. Kredit foto: Muzium Pahang

Perarakan ‘usunan’ di Sabah

Berlainan di Sabah pula, amalan perarakan yang sama juga turut diamalkan khasnya dalam kalangan etnik Iranun dan juga Bajau di Kota Belud.

Di Sabah, amalan tersebut diberi nama Usunan atau lazimnya kita kenali sebagai Usungan merupakan alat tandu untuk mengusung golongan bangsawan atau menyambut ketibaan parajurit dan pahlawan dari medan perang.

Namun, segi reka bentuk usungan di Sabah lebih gah dan menarik kerana dihiasi dengan corak yang melambangkan etnik mereka sendiri membuatkan ianya kelihatan unik dan istimewa.

image is not available
Perarakan usunan di Kota Belud, Sabah. Kredit foto: hajinalba

Semestinya, usungan atau tandu ini sudah meluas di seluruh negara sejak berkurun lamanya dan sehingga kini ia semakin berevolusi menerusi sambutan dan cara penyampaiannya yang pelbagai.

Walaupun perarakan usungan ini semakin ditelan zaman, terdapat juga generasi yang pernah melalui pengalaman ini membuatkan anak muda rasa ingin tahu tentang kewujudan amalan ini.

Justeru, dengan memperbanyakkan lagi perarakan usungan ini menerusi majlis khatam ataupun majlis perkahwinan, warisan penuh ketertiban ini diperturunkan dari satu generasi kepada generasi masa kini.

Jom telusuri lebih mendalam tentang budaya menarik yang terdapat di Borneo ini:

https://www.iloveborneo.my/kenali-masyarakat-tagal-yang-merupakan-sebuah-etnik-minoriti-di-sarawak/

https://www.iloveborneo.my/kenali-tradisi-istimewa-telinga-panjang-orang-ulu/

View Original Article