Kenali Firdaus Mahmud, Keyboardist Legenda Di Sebalik Lagu Ikonik

EntertainmentMusic
19 May 2025 • 10:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kenali Firdaus Mahmud, Keyboardist Legenda Di Sebalik Lagu Ikonik

Kalau kita sebut nama-nama besar dalam dunia muzik tanah air, pasti ramai yang terbayang wajah-wajah vokalis legenda. Namun tahukah anda, di sebalik gegaran pentas dan jeritan peminat, ada satu sosok tenang yang telah mewarnai irama lagu-lagu ikonik selama lebih empat dekad? Beliau ialah Firdaus Mahmud.

Nama ini mungkin tak sepopular vokalis utama, tetapi siapa sangka, jari-jemari beliau telah menyentuh puluhan lagu yang masih menjadi siulan hingga hari ini. Dari konsert gergasi ke rakaman studio, dari Wings ke Search, dari muzik keras ke balada menusuk kalbu, Firdaus bukan sekadar pemain keyboard, tetapi nadi penting dalam dunia muzik Malaysia yang jarang diberi perhatian.

Tahun lalu, Firdaus dan barisan pemuzik bagi Konsert Triad menerima pengiktirafan berprestij tanah air bersama Datuk Awie, First Artiste to Lead Multiple Bands in a Rock Concert 2025. Berikut SK kongsikan sedikit latar belakang konsert yang menggegar negara ini.

Konsert Triad: Gabungan 3 Legenda Rock, Persembahan Sarat Jiwa dan Tenaga

Konsert Triad yang berlangsung di ZeppKL pada 14 Februari 2025 bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah gabungan mantap tiga kumpulan rock legenda tanah air iaitu Wings, Dragon Malaya dan Search KidDin dengan Datuk Awie sebagai vokalis utama bagi ketiga-tiganya.

Solid betul persediaan mereka semua. Tak kenal penat dan lelah demi mendapatkan hasil persembahan yang terbaik untuk peminat,” ujar Firdaus yang turut beraksi sepanjang malam itu.

Latihan intensif selama enam minggu dijalankan di Studio Al Pamalo, di mana beliau bersama Datuk Awie berlatih sehingga 12 jam sehari untuk memastikan keserasian dengan semua kumpulan. Konsert tersebut berlangsung selama tiga jam, dengan membawakan 28 buah lagu yang disusun dan diubah suai agar kena dengan gaya persembahan malam itu.

“Saya agak buntu pada awal latihan. Wings tiada ‘keyboard part’ dalam rakaman asal mereka. Jadi saya perlu cipta sesuatu yang baharu untuk setiap lagu,” kongsinya.

Beliau turut bertanggungjawab mencipta ‘Concert Opening Music’ berdurasi dua minit yang membawa penonton masuk ke dunia rock tiga elemen.

Konsert ini turut mencatat sejarah apabila keseluruhan barisan pemuzik menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records. Mengucapkan syukur, beliau menyifatkan pengiktirafan ini bukan sekadar untuk malam persembahan, tetapi sebuah penghormatan buat beliau selama 40 tahun bermain muzik.

Kenali Firdaus Mahmud, pemain keyboard legenda tanah air

Konsert pertama pemain keyboard legenda ini bukan calang-calang. Beliau ditawarkan untuk bekerjasama dalam konsert kumpulan Ella & The Lips di Stadium Larkin Johor Bahru semasa melanjutkan pendidikan dalam bidang Reka Bentuk Grafik di Malaysian Institute of Art antara 1987 hingga 1990. Ketika itu, album Puteri Kota sedang berada di pasaran. Tidak hanya bersama Ella, menerusi konsert tersebut, beliau turut berpeluang bergandingan bersama Search, Wings dan Mega.

Berdiri sendiri, Firdaus lebih gemar bergerak solo berbanding berada bersama mana-mana kumpulan muzik atau artis.

“Saya lebih percayakan bakat saya sebagai sessionist yang mana saya berpeluang menambah pengalaman untuk bermain keyboard dengan ramai artis atau kumpulan tanpa ada rasa bersalah pada ahli kumpulan sendiri,” jelasnya.

image is not available
Kredit: Firdaus Mahmud

Bermula dari bangku sekolah, beliau ‘dipaksa’ oleh bapanya untuk belajar muzik di Hammond Music School. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang muzik di Yamaha Music School namun terpaksa berhenti meneruskan pengajian bagi menumpukan perhatian menghadapi peperiksaan SPM.

Seawal usia lapan tahun, beliau berpeluang memainkan muzik menggunakan keyboard di pelbagai majlis keraian seperti majlis perkahwinan. Malah, sebagai ketua pemuzik di peringkat sekolah, beliau turut menyertai pelbagai pertandingan kugiran bagi menambah keyakinan diri.

Kerjaya seni Firdaus Mahmud yang tiada bandingan

Ketika ditanya berkenaan pengalaman kerjayanya, SK dihidangkan dengan senarai yang begitu panjang. Malah, menjadi kejutan buat SK apabila mengetahui beliau pernah bekerjasama dengan nama-nama, konsert dan majlis yang begitu terkenal ketika zaman 1990an.

“Alhamdulillah, terlalu banyak pengalaman yang saya dapat. Terutama sekali bila dapat memberikan khidmat dalam sesebuah produksi rakaman album. Misalnya saya akan berkerjasama dengan penerbit album, artis, jurutera adunan muzik, jurutera studio, syarikat rakaman, PR dan pemuzik yang terlibat.

“Dalam penganjuran sesebuah konsert pula, saya selalunya dipilih sebagai pemain keyboard, penyusun muzik dan sesekali sebagai Pengarah Muzikal untuk persembahan. Di sini saya akan mengendalikan latihan bersama artis atau kumpulan yang saya sertai. Selain itu saya juga terlibat dalam penyusunan jadual, score writing untuk kumpulan, repertoire senarai lagu serta menjaga tempoh konsert agar tak melebihi masa. Saya turut terllibat dalam meneliti dinamik konsert dan pelbagai lagi tugasan yang perlukan penilaian dari saya,” kongsi beliau.

image is not available
Kredit: Firdaus Mahmud

Selain daripada itu, beliau juga sering dijemput untuk bekerjsama dalam penghasilan sesebuah filem.

Beliau perlu mengadakan perbincangan bersama pengarah filem bagi menentukan rangka muzik, penelitian mood muzik yang bersesuaian selain menulis skor muzik berkenaan. Beliau juga berperanan dalam menghasilkan single atau susunan muzik OST filem.

“Sekali lagi, setiap kerja yang dilakukan baik ketika rakaman, konsert mahupun muzik untuk filem, pasti akan ada penerbit, pengarah, artis, jurutera dan pemuzik yang bekerjasama dengan saya.

“Saya dikelilingi orang yang hebat. Kesemua mereka sememangnya kreatif dan inovatif. Dari pencipta lagu, penulis lirik, pengkarya skrip, pemuzik, penyanyi latar, pereka grafik hinggalah ke pengarah seni,” tambahnya.

image is not available
Kredit: Firdaus Mahmud

Mengimbau kembali langkah pertamanya dalam memulakan kerjaya bidang seni, beliau akui bernasib baik kerana berpeluang bekerja di studio milik Dato Dr M Nasir, Luncai Emas. Menjadi protege kepada M Nasir, beliau menimba ilmu dalam pelbagai penghasilan album sebagai in house arranger.

“Bermula dari album Hattan, album Ana Permata Timur, kemudian solo album Datuk Awie, album Magic Amy, filem Selubung, filem Balada, filem Merah, juga album M Nasir Canggung Medonan.

“Pendek kata apa sahaja yang bermuzik atau nada yang keluar dari Luncai Emas, pasti ada saya di belakangnya,” kata beliau.

Menurutnya, kumpulan pertama yang menjemputnya sebagai ahli tetap merupakan The Gong, M Nasir. Sebelum itu, Zul Mahat merupakan pianist dan keyboardist dalam masa yang sama.

“The Gong telah mengiringi setiap persembahan konsert Dato Dr M Nasir. Konsert pertama saya bersama mereka bermula dari konsert Gong Impian tahun 1992.

“Saya ditawarkan sertai The Gong oleh Sifu sendiri atas antara sebab, album semakin ke arah world music atau nusantara, adult oriented rock dan semakin kompleks penciptaannya.

“‘Kumpulan Gong ni perlukan lagi seorang pemain keyboard untuk mainkan bunyi yang world ni seperti gamelan, angklung, serunai, synthesizer sound, loops, sampling dan music programming. Kau buat yang itu dan biarkan Zul Mahat tumpu kepada main Piano, kata M Nasir kepada saya,” jelas beliau.

image is not available
Kredit: Firdaus Mahmud

Firdaus Mahmud nadi konsert terkemuka

Dua tahun kemudian, Konsert Canggung Medonan diadakan di Stadium Negara pada tahun 1994 diikuti Konsert Phoenix Bangkit di SUNN TEC Singapura pada 2001. Selain daripada itu, beliau turut bertugas bersama The Gong ketika Konsert Andalusia di Stadium Merdeka KL tahun 2000, Konsert Akar di PWTC KL tahun 1995, Konsert Alam Muzik di Istana Budaya KL pada 2009.

Menginjak ke era 2000-an, beliau terlibat dalam Konsert Sang Pencinta di Istana Budaya KL pada tahun 2013 dan Konsert Satu Hikayat di KLCC 2019. Selepas berakhirnya pandemik, beliau kembali terlibat dengan penganjuran konsert ketika Konsert Cipta Axiata Arena pada Ogos 2024 lalu dan Konsert Cipta 2 Axiata Arena Disember 2024. Terbaru, Cipta Raya di ZeppKL telah diadakan pada 13 April lalu.

image is not available
Kredit: Firdaus Mahmud

Jika anda berkesempatan menghadiri Konsert Kasi Gegar AMUK vs Cromok di N9 Arena Nilai pada 25 April lalu, anda sebenarnya sudahpun berada dalam satu konsert yang sama dengan pemain keyboard legenda ini.

Mengakhiri temu bual kami, Firdaus berkongsi perancangan konsert akan datang yang penuh warna. Antara yang disebut termasuk konsert Dato Dr M Nasir di Qatar sekitar November dan siri jelajah Konsert Triad yang bakal ke lima lokasi termasuk Singapura. Malah, Wings turut merancang untuk ke Dubai pada masa akan datang.

Sebagai pemuzik session, beliau sentiasa bersedia untuk peluang mendatang. Beliau turut berharap agar industri muzik Malaysia terus mencipta ‘magik’ yang membuka ruang kepada pemuzik untuk ke peringkat lebih tinggi.