Kenanga Research berhati-hati terhadap prospek KESM ekoran ketidaktabilan pasaran semikonduktor
azan
22/09/2023 - 09:31
KUALA LUMPUR 22 Sept - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek KESM Industries Berhad selepas mengambil kira ketidakstabilan pasaran industri semikonduktor.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan perbelanjaan modal sebanyak RM143 juta, kumpulan itu kini fokus kepada peralihan cip baharu untuk kenderaan elektrik (EV), yang dijangka meningkat secara beransur-ansur dalam jumlah pemuatan.
"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati memandangkan ketidaktentuan yang berlaku dalam industri semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23) berbanding untung bersih RM1.67 juta pada tahun sebelumnya.
Kerugian itu adalah disebabkan oleh kenaikan kos dan kemerosotan dalam semikonduktor industri pada tahun ini.
Syarikat perkhidmatan 'burn-in' dan ujian bebas itu berkata, hasil tahunan merosot sebanyak 7% kepada RM228.28 juta daripada RM246.74 juta sebelumnya.
Kemerosotan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ketiadaan hasil daripada perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang dikurangkan selain mengurangkan jumlah untuk perkhidmatan 'burn-in'.
Hasil yang lebih rendah, ditambah dengan kos kewangan dan utiliti yang lebih tinggi, mengakibatkan kerugian tahunan pertama KESM sejak penyenaraiannya pada 1994.
Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran untung bersih FY24 kepada RM2.7 juta (berbanding RM530,000) selain mengunjurkan 67% pertumbuhan pendapatan FY25.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana pendedahannya yang positif kepada ruang semikonduktor automotif dan menjadi antara penyedia perkhidmatan ujian dan 'burn-in' terbesar di Malaysia yang berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan MNC di negara ini.
"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM7.06 sesaham," katanya. - DagangNews.com


