Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek kemudahan penapisan Petron Malaysia
azan
24/11/2023 - 12:21
KUALA LUMPUR 24 Nov - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek kemudahan penapisan Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad (Petron Malaysia) memandangkan kapasiti penapisan yang mencukupi dalam pasaran.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan permintaan lemah untuk produk penapisan kesan daripada ekonomi global yang perlahan.
"Bagi jangka masa panjang, penggunaan kenderaan elektrik (EV) juga akan membawa kepada penurunan permintak produk ditapis.
"Pada masa sama, kumpulan juga berdepan pelbagai risiko termasuk kemungkinan kemelesetan yang melembapkan pemintaan produk petroleum selain kejatuhan harga minyak mentah dan risiko operasi yang mungkin menjejaskan kadar penggunaan kapaisiti," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM82 juta pada suku ketiga 2023, meningkat lebih dua kali ganda daripada RM32 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan memberangsangkan itu sebahagian besarnya adalah didorong oleh jumlah jualan syarikat yang meningkat sebanyak 14% serta margin penapisan yang menggalakkan.
Harga purata penanda aras minyak mentah mentah mencapai AS$87 setong pada suku ketiga, susut sebanyak 14% daripada purata AS$101 setong dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil 9MFY23 kumpulan itu susut 10% disebabkan oleh harga minyak yang lebih rendah yang lebih daripada mengimbangi volum jualan yang lebih tinggi sebanyak 27.6 juta tong (+10%).
Keuntungan bersihnya menjunam sebanyak 28%, apabila perbezaan harga antara satu tong minyak mentah dan produk petroleum yang ditapis mengecil dan ditambah dengan ketiadaan insentif cukai.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.74 berbanding RM4.65 sesaham.- DagangNews.com

