Kenanga Research turunkan unjuran pendapatan Samaiden bagi FY24 sebanyak 16% berikutan prestasi lemah 1QFY24
diyana
29/11/2023 - 10:55
KUALA LUMPUR 29 Nov - Unjuran pendapatan Samaiden Group Berhad bagi tahun kewangan 2024 (FY24) diturunkan sebanyak 16% berikutan prestasi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24) mengecewakan disebabkan kelemahan pengebilan kemajuan namun unjuran FY25 dikekalkan, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata pengebilan kemajuan daripada pekerjaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) adalah lemah daripada jangkaan pada 1QFY24, menyebabkan keuntungan bersih Samaiden berjumlah RM3 juta pada suku semasa hanya meliputi anggaran firma dan konsensus masing-masing pada 16% dan 14%.
Bagaimanapun, firma itu berkata keterlihatan pendapatan kumpulan tersebut kukuh disokong oleh pesanan tertunggak sebanyak RM351 juta (berbanding RM373 juta tiga bulan lalu) yang boleh menyibukkannya sekurang-kurangnya dalam tempoh 18 bulan akan datang.
“Pertumbuhan jangka panjang Samaiden disokong baik oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menetapkan sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) bercita-cita tinggi untuk membentuk 31% daripada jumlah kapasiti penjanaan kuasa menjelang 2025, dan 70% menjelang 2050.
“Selain itu, perniagaan, dipacu komersial (iaitu untuk menjimatkan kos) dan pertimbangan alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG), telah melabur secara sukarela dalam aset penjanaan tenaga solar berikutan kenaikan tarif elektrik baru-baru ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu percaya Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dengan kapasiti berjumlah 43.32 MWac diraih oleh Samaiden menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding program solar berskala besar (LSS)
Jelasnya, hal ini kerana CGPP menggunakan model penjual-rela pembeli-rela dengan anggaran kadar tarif 25 sen hingga 28 sen setiap kilowatt jam (kWj) (berbanding 17 sen hingga 24 sen/kWj di bawah LSS).
“Selain itu, kami percaya ia juga bersedia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 15% daripada jumlah kontrak EPCC di bawah CGPP, memandangkan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran EPCC solar,” tambahnya.
Kenanga Research mengurangkan harga sasaran (TP) sebanyak 20% kepada RM1.44 sesaham daripada RM1.80 sebelumnya berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY25 sebanyak 30 kali ganda yang dicairkan sepenuhnya sebanyak 4.8 sen.
Setakat pukul 10:52 pagi ini, saham Samaiden menokok 1 sen atau 0.9% kepada RM1.13 dengan permodalan pasaran berjumlah RM464 juta. - DagangNews.com

