Kenanga Research unjur pendapatan Kotra dipacu peningkatan penggunaan makanan tambahan
azan
29/05/2023 - 17:04
KUALA LUMPUR 29 Mei - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Kotra Industries Berhad dipacu oleh peningkatan penggunaan makanan tambahan untuk pertahanan terhadap penyakit berjangkit.
Firma itu berkata, pendapatan kumpulan itu juga didorong oleh margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang mampan antara 34% hingga 35% disebabkan skala ekonomi lebih baik selain kadar penyerapan kos lebih baik.
Selain itu kata, kadar cukai berkesan masing-masing 8% dan 10% pada FY23 dan FY24 di bawah kadar berkanun disebabkan kerugian perniagaan yang tidak diserap dan elaun pelaburan semula yang tidak digunakan.
"Pasaran ubat-ubatan di kaunter (OTC) domestik yang berkembang pada masa hadapan merupakan petanda baik untuk kumpulan itu kerana segmen OTC membentuk lebih separuh daripada hasil, iaitu 53% daripada hasil FY22.
"Perbelanjaan penjagaan kesihatan yang luar biasa di Malaysia kepada farmasi swasta telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 10 tahun sebanyak 11%.
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan memanfaatkan peningkatan perbelanjaan kesihatan yang perlu dibelanjakan untuk farmasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menyukai kumpulan itu kerana prospek yang cerah dalam pasaran OTC selain model perniagaan bersepadu merangkumi semua aspek dalam nilai rantaian farmaseutikal.
"Margin unggul model perniagaan pembuatan jenama asalnya (OBM) (berbanding pembuatan kontrak margin rendah) dengan jenama isi rumah yang kukuh seperti Appeton," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham. - DagangNews.com

